JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengeluarkan 62 kompaun berjumlah RM31,000 dalam tempoh seminggu selepas denda di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) diselaraskan mencecah RM500.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, penguatkuasaan yang dijalankan itu bagi memperkasakan agenda Johor Bersih yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata, program yang dilancarkan sejak tahun lalu dilakukan secara berterusan dengan kerjasama SWCorp bagi menjalankan aktiviti pembersihan setiap minggu dan menuntut rakyat bersama-sama menjaga kebersihan bandar raya ini.
“Kebanyakan kes membuang sampah di merata-rata tempat ini melibatkan warganegara asing. Hasil tindakan penguatkuasaan yang dilakukan, kita telah mengenakan kompaun maksimum RM500 kepada 62 individu.
“Warga asing ini termasuk pengembara dari Singapura yang fikir kita tidak mengendahkan soal kebersihan, namun pemantauan dilakukan oleh anggota kita yang memakai uniform dan juga pakaian biasa.
“Dengan adanya pegawai memakai pakaian biasa ini, mereka akan dilengkapi dengan kamera di badan bagi merakam aksi orang ramai yang membuang sampah sebagai bukti perbuatan itu dilakukan,” katanya selepas merasmikan Sudut Lestari MBJB di Perpustakaan Sultan Ismail, di sini hari ini.
Pada 5 Januari lalu, Onn Hafiz dilaporkan berkata, kerajaan negeri bercadang menguatkuasakan undang-undang itu selepas mendapati pemikiran masyarakat berkaitan isu pembuangan sampah masih belum mencapai tahap ditetapkan.
Sebelum ini, denda di bawah akta berkenaan adalah sebanyak RM30 dan RM50.
Dalam pada itu, Noorazam berkata, Sudut Lestari yang diwujudkan dengan kerjasama Bandar Kyoto, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan Kyoto Environmental Activities Association (KEAA) itu bertujuan menyediakan pembelajaran sepanjang hayat dan kesedaran kepada semua masyarakat dalam memelihara alam semula jadi.
“MBJB berharap penduduk di Johor Bahru dapat mengaplikasikan gaya hidup rendah karbon dalam amalan harian dengan menerapkan konsep ‘kyoto-model’ dalam amalan pendidikan alam sekitar,” katanya. – UTUSAN