JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini yang menggunakan aplikasi pengurusan tempat letak kereta secara digital sepenuhnya menerusi aplikasi MBJB Spot v2.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman berkata, usaha itu selaras dengan pelaksanaan bandar raya pintar di Johor Bahru menerusi transformasi digital dalam perkhidmatan kepada warganya dan menormakan ‘cashless society’.
“Menerusi aplikasi MBJB Spot v2 ini, pengguna boleh membuat semakan dan bayaran kompaun bagi kesalahan letak kereta dan lalu lintas.
“Mereka juga boleh membuat permohonan dan pembayaran sewa petak sementara dan petak rezab secara dalam talian bagi penjaja dan premis perniagaan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, di sini hari ini.
Noorazam berkata, menerusi aplikasi itu juga, pengguna boleh membuat bayaran kupon letak kereta secara dalam talian mengikut kadar harian, mingguan dan bulanan.
Maklumat berkaitan MBJB dan bandar raya Johor Bahru akan dimasukkan dalam aplikasi bagi memudahkan orang ramai mahupun pengunjung mengetahui maklumat berkaitan tempat letak kereta swasta, lokasi dewan serbaguna dan gerai-gerai di bawah kendalian MBJB.
“MBJB Spot v2 juga telah diintegrasikan dengan sistem i-Trafik yang akan membantu pengguna jalan raya untuk mengetahui situasi aliran trafik di pusat bandar. Aplikasi ini turut digabungkan dengan paparan 300 kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan seliaan MBJB,” katanya.
Katanya, MBJB akan memasang tambahan 500 unit CCTV di lokasi-lokasi tumpuan dan panas di sekitar bandar raya tahun ini.
“Aplikasi ini kini mempunyai sebanyak 400,000 pengguna berdaftar dan membenarkan pemilik akaun membuat bayaran bagi pihak ketiga yang tidak mempunyai akaun dengan cara mendaftarkan nombor kenderaan mereka dalam akaun pemilik dan terus membuat pembayaran secara dalam talian.
“Justeru, warga bandar raya MBJB disaran memuat turun aplikasi tersebut kerana segala urusan tempat letak kereta di bawah pentadbiran MBJB telah digitalkan sepenuhnya dan tiada lagi penggunaan kupon parkir mulai 1 Jun ini,” katanya. – UTUSAN