KUANTAN: Mangsa banjir di negeri ini menunjukkan peningkatan dengan seramai 5,160 mangsa dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kuantan dan Pekan sehingga setakat pukul 4 petang ini.
Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, mangsa yang terjejas menunjukkan peningkatan berbanding pukul 8 pagi tadi iaitu seramai 4,230 orang.
Sebanyak 24 PPS dibuka di daerah Kuantan yang menempatkan 5,053 mangsa dengan penambahan lima PPS berbanding pagi tadi iaitu sebanyak 19 PPS dibuka.
Dalam pada itu, mangsa di Pekan pula menunjukkan pengurangan dengan tiga dari 110 mangsa pagi tadi sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing menjadikan keseluruhan 107 mangsa ditempatkan di empat PPS di daerah itu setakat pukul 4 petang ini.
Sementara itu, data berdasarkan laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan dua sungai masing-masing di Kuantan dan Rompin menunjukkan paras bahaya.
Sungai terbabit ialah Sungai Belat di Sri Damai, di sini, dan Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong, Rompin.
Paras air Sungai Belat bagaimanapun menunjukkan trend menurun manakala Sungai Keratong menunjukkan trend menaik.
Beberapa sungai seperti Sungai Tanum di Jambatan Chegar Perah, Lipis; Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut; Sungai Pahang di Paloh Inai, Pekan; dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan melepasi paras amaran dengan menunjukkan trend menaik.
Manakala Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantu dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan yang juga berada paras amaran menunjukkan trend menurun.
Selain itu, Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh dan Sungai dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran berada pada paras waspada dan juga menunjukkan tren menaik. – UTUSAN