Lebih RM400 juta diperlukan selenggara, baikpulih jalan di Pahang - Utusan Malaysia

Lebih RM400 juta diperlukan selenggara, baikpulih jalan di Pahang

MUHAMMAD Fakhruddin Mohd. Ariff (kemeja putih, tengah) meninjau keadaan jalan rosak di laluan masuk ke kawasan perindustrian Semambu di Kuantan, Pahang. - FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri memerlukan peruntukan lebih RM400 juta bagi melakukan kerja-kerja menyelenggara dan membaikpulih kira-kira 3,000 kilometer jalan Persekutuan di negeri ini tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, permohonan sudah pun dibuat kepada kerajaan Pusat dan diharap ia diluluskan sepenuhnya supaya kerja-kerja menyelenggara dan membaikpulih dapat dilakukan dengan lebih baik seperti penurapan dan membuat lapisan atau jalan baharu.

“Kerajaan negeri berdepan dengan isu berkaitan peruntukan berikutan faktor Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dan lain-lain yang menyebabkan kelewatan dalam tempoh lima bulan.

“Dalam tempoh itu, kita juga berdepan musim tengkujuh luar biasa apabila banjir berlaku menyebabkan jalan yang sudah pun rosak mengalami kerosakan lebih teruk.

“Harap bajet yang dimohon ini apabila diluluskan tidak lama lagi dapat meneruskan kerja-kerja menyelenggara jalan negeri ini. Saya juga berharap agar masyarakat dapat bersabar dengan situasi ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi taklimat bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) bertempat di Kompleks Tun Razak di sini hari ini.

Mohammad Fakhruddin berkata, kerajaan negeri memandang serius tentang perkara-perkara yang hangat diperkatakan di laman sosial terutama berkaitan masalah kualiti jalan dihadapi masyarakat.

Beliau dalam pada itu berkata, kerajaan negeri juga sudah memohon peruntukan kecemasan yang akan digunakan untuk membaikpulih jalan-jalan yang rosak.

“Kita harap permohonan ini dapat diluluskan segera untuk kita baikpulih jalan yang banyak kita terima aduan sekali gus mengambil tindakan dengan menggunakan peruntukan khas ini bagi membaikpulih jalan yang dikategorikan sebagai kecemasan seperti jalan masuk ke kawasan perindustrian Semambu,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap agar orang ramai tidak salah tafsir dengan tindakan 24 jam yang akan diambil JKR bagi menyelesaikan masalah jalan yang dihadapi.

“Setiap aduan yang diterima akan diambil kira dalam tempoh 24 jam dan jika ia adalah masalah yang kecil, tindakan segera akan diambil.

“Tapi jika ia melibatkan masalah yang besar seperti jalan runtuh dan sebagainya, tidak mungkin penyelesaian dapat diambil dalam tempoh 24 jam. Bergantung kepada kerosakan,” katanya.

Beliau bagaimanapun meminta orang ramai supaya membuat aduan berkaitan kerosakan jalan kepada wakil rakyat di kawasan masing-masing supaya isu terbabit dapat disalurkan kepada JKR daerah yang kemudiannya dibawa untuk makluman kerajaan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya