Kutipan zakat Pahang meningkat kepada RM207 juta pada 2022 - Utusan Malaysia

Kutipan zakat Pahang meningkat kepada RM207 juta pada 2022

HALIDAN Md. Daud (kanan) bersama Ketua Pengurus Cawangan Muip, Mohd. Faitullah Sa’adon (kiri) dalam sidang akhbar pada Majlis Ramah Mesra Bersama Media di Al Dante Pasta Palace di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang merekodkan jumlah kutipan zakat sebanyak RM207 juta pada tahun lalu meningkat 15.4 peratus atau RM27.7 juta berbanding RM179.2 juta tahun sebelumnya.

Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang, Datuk Halidan Md. Daud berkata, kutipan tersebut melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak RM194 juta pada 2021.

“Peningkatan itu dijangka berikutan pelaksanaan pelbagai program strategi zakat termasuk memberi fokus kepada kempen skim wakalah.

“Skim yang bermula tahun lalu itu memberi manfaat semula kepada pembayar zakat yang mana sebanyak 30 peratus pulangan wang zakat akan dikembalikan untuk diagihkan berdasarkan jumlah zakat yang ditetapkan iaitu RM50,000 bagi syarikat manakala RM30,000 individu.

“Seramai 100,000 pembayar menunaikan zakat harta tahun lalu berbanding seramai 95,642 orang pada 2021 sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 4.4 peratus membabitkan penjawat awam dan swasta, badan-badan korporat serta institusi pendidikan,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Ramah Mesra Bersama Media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Halidan berkata, peningkatan kutipan zakat dapat memberikan manfaat kepada golongan asnaf yang akan dilaksanakan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) menerusi penyaluran bantuan.

Jelasnya, sepanjang tahun lalu, Muip sudah pun mengagihkan zakat kepada golongan asnaf membabitkan 124,900 orang.

“Sebanyak RM79.9 juta diagihkan kepada asnaf fakir miskin yang menerima bayaran bulanan membabitkan 9,728 keluarga.

“Agihan turut meliputi Program Pembangunan Masjid dan Surau sebanyak RM23.2 juta, pembangunan pendidikan yang melibatkan pelajar dan penyelenggaraan surau sekolah sebanyak RM42 juta.

“Selain itu, agihan kepada sumbangan dermasiswa dan bantuan awal institut pengajian tinggi (IPT) kepada 29,434 orang pelajar dan program dakwah dan pembangunan Mualaf sebanyak RM7.8 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya