KULAI: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri ini menyita sebanyak 15,768 bungkusan teh dan kopi bernilai RM23,000 yang disyaki menggunakan logo halal yang tidak diperakui dalam serbuan di sebuah kilang pembungkusan, di sini semalam.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, kegiatan itu terbongkar selepas pihaknya menjalankan operasi halal pada pukul 3 petang.
“Hasil pemeriksaan dilakukan, pegawai dan anggota KPDN telah menyita sejumlah 15,768 bungkus teh dan kopi yang disyaki telah menggunakan logo halal yang tidak diperakui oleh badan yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi itu disertai lapan anggota penguat kuasa KPDN dan empat anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).
Difahamkan, kilang pembungkusan minuman teh dan kopi tersebut telah beroperasi sejak 2019 dan produknya dipasarkan ke seluruh negara.
Lilis Saslinda berkata, kes disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan, Perenggan 8(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000 bagi suatu pertubuhan perbadanan.
“Bagi individu pula boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Untuk kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.
Beliau menggesa orang ramai di negeri ini supaya menyalurkan maklumat atau aduan kepada pihaknya menerusi Hotline KPDN 1-800-886-800 atau menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) menerusi talian 0388826245/6088.
Maklumat juga boleh dikongsi menerusi nombor aduan WhatsApp KPDNHEP: 019-2794317/019-8488000 atau menerusi aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN. – UTUSAN