Komando teruskan pencarian Edrin - Utusan Malaysia

Komando teruskan pencarian Edrin

ZAMROSE Mohd. Zain dalam sidang akhbar selepas merasmikan Ladang Integrasi Tentera Darat di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Pasukan komando Tentera Darat akan tetap meneruskan pencarian anggota komando, Lans Koperal Edrin Baintim, 25, yang dikhuatiri lemas di perairan Pulau Undan, Melaka, Selasa lepas.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, kehilangan Edrin itu kini masuk hari kelapan dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) tertentu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilaksanakan dihentikan setelah hari ketujuh pencarian.

“Saya rasa semua orang tahu sudah lapan hari Lans Koperal Edrin hilang dan kami pun sudah mencari dari hari mula hilang sampailah sekarang. Semalam, saya difahamkan mengikut SOP tertentu setelah tujuh hari SAR dihentikan, tetapi komando dan polis akan teruskan sampai 10 hari.

“Sekiranya hari ke-10 masih tidak jumpa, kami akan hentikan dan menyerahkan kepada agensi-agensi yang membuat rondaan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin, nelayan untuk memaklumkan kepada balai polis berhampiran sekiranya menjumpai mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ladang Integrasi Tentera Darat di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini hari ini.

Sebelum ini Pengarah Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata, keputusan itu menangguhkan SAR tersebut sejak malam tadi diambil susulan pencarian hampir seminggu gagal menunjukkan tanda-tanda penemuan baharu.

Ujar Iskandar, walaupun SAR yang memasuki hari ketujuh itu ditangguhkan namun rutin rondaan akan diteruskan seperti biasa dan pihak Maritim Malaysia akan memberi makluman dari semasa ke semasa sekiranya terdapat petunjuk atau penemuan terbaharu.

Pada 7 Februari lalu, Lans Koperal Edrin dari Grup Gerak Khas dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.

Mangsa dikatakan hilang ketika eksesais ‘Pari Harimau’ iaitu kursus juruselam bersama enam pegawai dan 37 peserta kursus dari Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Sungai Udang, Melaka.

Dalam pada itu, Zamrose berterima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam SAR selama tujuh hari berkenaan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya