KUANTAN: Gara-gara terus beroperasi secara haram dan masih melakukan pembakaran terbuka, sebuah kilang memproses sisa elektronik (e-waste) di kawasan Perindustrian Gebeng di sini sekali lagi diserbu oleh lima agensi penguatkuasa dengan kerjasama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah.
Lima agensi terbabit adalah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Ketika serbuan oleh kira-kira 30 anggota penguatkuasa, beberapa pekerja dilihat berada dalam kilang, namun ia dikunci bagi mengelakkan dimasuki mana-mana pihak.
Dalam pada itu, kelihatan asap tebal dapat dilihat dengan jelas dari luar kawasan kilang berkenaan.
Setelah pintu kilang dibuka apabila arahan dikeluarkan, pasukan Unit Bahan Bahaya (Hazmat) JBPM terlebih dahulu melakukan pemeriksaan untuk memastikan tiada pencemaran udara berbahaya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, pihaknya menyelaraskan operasi bersepadu itu selepas menerima aduan orang awam berkaitan kilang yang memberi kemudaratan terutama melibatkan kesihatan khususnya penduduk sekitar kawasan berkenaan.
“Pihak kami menerima banyak aduan daripada orang awam sejak pertengahan Januari hingga awal Februari lalu, tentang tindakan kilang ini yang melepaskan asap tebal dan berbau sehingga menggangu keselesaan dan kesihatan.
“Daripada maklumat diterima, penguatkuasa JAS bersama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pernah melakukan pemantauan dan pemeriksaan di kilang berkenaan pada 25 Januari lalu serta mengeluarkan notis supaya menghentikan operasi namun mereka berdegil dan masih meneruskan operasi,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Andansura berkata, kilang terbabit melakukan operasi kitar semula sisa elektronik untuk ditukar menjadi jongkong aluminium.
“Berdasarkan maklumat awam yang diperoleh, kilang ini sudah beroperasi hampir sebulan dan menjalankan operasi tanpa kelulusan.
“Antara kesalahan mereka termasuk melakukan aktiviti pembakaran terbuka dan pihak JAS telah mengarahkan mereka menghentikan pembakaran terbabit serta merta.
“Tindakan susulan termasuk tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap kilang terbabit dan setakat ini JAS hanya bertindak melakukan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) dan siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya. – UTUSAN