KOTA BHARU : Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad diberi mandat untuk menjadi ‘panglima’ dalam usaha merampas pucuk pentadbiran negeri ini daripada Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.
Khalid menjelaskan, selari dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi parti tugas sebagai Pengerusi Amanah Kelantan akan disandang olehnya bagi tempoh enam bulan dengan tujuan memulihkan serta mengukuhkan kembali kedudukan parti di bumi serambi Mekah ini.
“Menurut perlembagaan parti, Amanah peringkat nasional dibenarkan mengambil alih pengurusan peringkat negeri bagi tempoh enam bulan untuk membantu pengerusi sedia ada.
“Jawatan Muhammad Husain masih kekal. Hanya tugasan beliau diambil alih untuk tempoh berkenaan. Semua pimpinan dan ahli Amanah Kelantan memahami perkara ini dan memberikan kerjasama penuh kepada saya,” katanya pada sidang media di Kubang Kerian, dekat sini hari ini.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu memberitahu, langkah tersebut bertujuan meningkatkan prestasi Amanah Kelantan selepas Pas menyapu bersih kesemua 14 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.
Katanya, proses mengambil alih pentadbiran boleh diteruskan sekiranya dirasakan perlu tetapi terhad kepada tempoh enam bulan pada satu-satu masa.
Mengulas kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) untuk PRN nanti, Khalid menjelaskan ia boleh berlaku sama ada dalam bentuk Kerajaan Perpaduan atau sebaliknya.
Katanya, perkara tersebut akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti kemudian dan buat masa ini mereka berkenalan, berinteraksi, bertemu dan berbincang terlebih dahulu untuk melihat pendekatan bersesuaian.
“Semestinya semua pihak inginkan kerusi untuk parti masing-masing tetapi kita perlu memahami bahawa dalam keadaan semasa, kita perlu bekerjasama untuk mencapai kemenangan. Bagaimanapun, kerjasama PH dan BN di peringkat nasional juga perlu distabilkan terlebih dahulu termasuklah dalam pemerintahan Kerajaan Perpaduan.
“Kita tidak mahu dalam kerjasama ibarat perkahwinan yang baru dimulakan ini tiba-tiba kita berbalah di peringkat bawahan disebabkan pembahagian kerusi. Jadi biar kita stabilkan dahulu di peringkat nasional.
“Sambil itu kita beri kefahaman kepada semua ahli betapa perlunya kerjasama ini demi mencapai kemenangan. Saya percaya satu keputusan akan dapat dicapai sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan,” ujarnya.-UTUSAN