ISKANDAR PUTERI: Tahap kesedaran rakyat negeri ini terhadap aspek penjagaan kebersihan awam, khususnya penjagaan sungai masih berada pada tahap rendah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar berkata, perkara itu dapat dilihat apabila masih banyak sampah domestik yang dibuang ke dalam sungai-sungai negeri ini.
Justeru, masyarakat perlu mengubah sikap dan menjadi lebih cakna terhadap kebersihan berbanding hanya bergantung dengan usaha kerajaan.
“Perkara yang lebih merisaukan bukanlah sungai itu tercemar, tetapi tahap kuantiti sampah yang dibuang ke dalam sungai. Setiap bulan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengutip antara 80 hingga 100 tan sampah-sarap di dua sungai di Johor Bahru, iaitu Sungai Tebrau dan Sungai Skudai.
“Ini menunjukkan tahap kesedaran masyarakat tentang kebersihan di sungai masih rendah. Jadi, untuk mengubah situasi berkenaan langkah pertama adalah mendidik orang ramai untuk tidak membuang sampah merata-rata, bukan sekadar mengutip sampah di sungai,” katanya selepas melancarkan Pelan Mampan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di pelabuhan itu, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelson.
Tahun lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Zaini Ujang melaporkan sebanyak 13 daripada 23 batang sungai yang tercemar di negara ini terletak di Johor.
Raven Kumar memberitahu, tahap pencemaran sungai-sungai di negeri ini menunjukkan rekod semakin pulih setelah pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk Agenda Johor Bersih bagi mencapai matlamat Johor Maju 2030.
“Program Agenda Johor Bersih telah menunjukkan keberkesanan, tetapi ia memerlukan jangka masa panjang untuk mendidik masyarakat untuk sama-sama menjayakannya. Sekiranya individu itu tidak berubah, maka apa-apa polisi dilaksanakan tidak akan berkesan,” katanya.
Mengenai program tersebut, Raven Kumar berkata, PTP telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak termasuk Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) dan SWM Environment Sdn Bhd.
“Menerusi memorandum persefahaman ini menyaksikan PTP menanam sebanyak 160,000 batang pokok di Taman Negara Tanjung Piai dalam tempoh lima tahun, manakala kerjasama dengan SWM Environment pula menyaksikan penubuhan pusat kitar semula di pelabuhan berkenaan,” katanya. – UTUSAN