Kes ugutan bunuh pemain TRW selesai

Kes ugutan bunuh pemain TRW selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamburger menganggap kes ugutan bunuh ke atas pemain import pasukan itu, Christian Rontini sudah selesai selepas polis telah mengenal pasti individu yang menghantar mesej berkenaan.

Zamburger berkata, Kelantan FC menyerahkan sepenuhnya kes tersebut kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan.

“Bagaimanapun selepas pendedahan kes tersebut Rontini telah menerima banyak mesej daripada penyokong-penyokong Kelantan FC yang memberikan sokongan moral kepadanya.

“Mereka menyatakan rasa sayang kepada pemain tersebut dan ia sememangnya menggembirakan Rontini sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini.

Zamburger memberitahu, walaupun perkara itu dilihat sebagai gurauan namun apabila melibatkan ugutan ia adalah sesuatu yang serius.

“Saya rasa ia lebih kepada mahu menyatakan penyokong Kelantan mahukan sesuatu. Alhamdulillah setakat ini kita telah membuktikan apabila hampir bergelar juara Liga Perdana pada musim lepas dan insya Allah kita mampu buat kejutan dalam Liga Super musim ini.

“Sebetulnya masyarakat Kelantan adalah sangat berbudaya dan beradab. Saya harap sifat dan sokongan sebenar rakyat negeri ini dapat ditonjolkan agar ia dapat menyuntik semangat kepada barisan pemain The Red Warriors (TRW),” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Zamburger memberitahu, dia yakin isu jersi cetak rompak akan dapat ditangani berikutan Kelantan FC menawarkan harga asli serendah RM39 dengan kualiti yang baik.

Katanya, penyokong setia yang benar-benar sayangkan TRW pasti lebih rela mendapatkan jersi original sebagai tanda sokongan mereka kepada pasukan.

“Untuk musim ini kita menyasarkan penjualan ‘merchandise’ pasukan sekurang-kurangnya sebanyak RM800,000. Saya rasa ia dapat dicapai kerana untuk ‘pre-order’ sahaja telah mencapai RM200,000.

“Namun tidak mustahil jualan keseluruhan ‘merchandise’ Kelantan FC mampu mencecah sehingga RM1 juta pada musim ini,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya