PARLIMEN: Kerajaan tidak bercadang memansuhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada golongan miskin dan isi rumah bersasar B40.
Menjelaskan perkara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana jumlah tersebut melibatkan pelupusan hutang yang besar dan ia tidak boleh dilaksanakan buat masa ini.
“Kerajaan belum mempunyai perancangan untuk memansuhkan pinjaman hutang PTPTN bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40.
“Untuk makluman, berdasarkan unjuran atau anggaran awal PTPTN, cadangan pemansuhan pinjaman PTPTN bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah akan melibatkan 1.84 juta peminjam dan pelupusan hutang sebanyak RM 42.34 billion,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Bersatu-Machang) yang bertanya kementerian bilakah program pemansuhan hutang PTPTN mula diperkenalkan dan berapa jumlah penerima manfaat.
Mengulas lanjut, Khaled turut berkata, beberapa inisiatif diberikan kepada peminjam dalam membuat pembayaran balik kepada PTPTN.
“Ada pelbagai cara dan usaha untuk memudahkan peminjam golongan miskin seperti penangguhan bayaran balik jika sambung pengajian atau belum dapat pekerjaan, penstrukturan penjadualan semula pinjaman mengikut kemampuan, pemberian diskaun bayar balik jika buat bayaran secara sekali gus dengan penuh dan bayaran balik PTPTN bermula selepas 12 bulan peminjam tamatkan pengajian serta peroleh pendapatan stabil untuk memulakan bayaran balik,” katanya. – UTUSAN