Kenderaan, 20 pelajar SPM terkandas di laluan utama Jerantut - Benta - Utusan Malaysia

Kenderaan, 20 pelajar SPM terkandas di laluan utama Jerantut – Benta

PENGGUNA motosikal melalui jalan yang berlaku mendapan ke tempat kerja berdekatan Kampung Jaya Putra, Damak di Jerantut, Pahang. - FOTO /IHSAN JPKK DAMAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Ratusan kenderaan dari Damak dan Batu Balai termasuk kira-kira 20 orang pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia terkandas di Jalan Benta ke Jerantut di laluan FT64 berdekatan Kampung Jaya Putra di sini berikutan mendapan tanah dan banjir.

Laluan utama tersebut ditutup untuk kenderaan ringan bermula pukul 9.30 pagi hari ini berikutan mendapan tanah di kawasan struktur jalan dan pembetung semakin melebar dan hampir terputus, manakala jalan alternatif untuk kenderaan ringan dan motosikal di kawasan ladang sawit ditenggelami air.

Kejadian itu menyebabkan kira-kira 20 orang pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dari kawasan Batu Balai terkandas untuk menduduki peperiksaan yang sedang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damak hari ini.

Tinjauan mendapati, laluan itu cuma boleh dilalui motosikal sahaja ketika awal kejadian, tetapi difahamkan waktu tengah hari ini laluan berkenaan ditutup kerana membahayakan pengguna jalan raya.

Selepas kejadian mendapan tanah dan kerosakan pembentung pada 24 Januari lalu cuma kenderaan di bawah satu tan sahaja dibenarkan melalui laluan alternatif sehala di situ.

Hujan lebat sejak dua hari lalu antara punca berlaku mendapan tanah termasuk air banjir memenuhi kawasan ladang sawit berdekatan. berikutan kerja membaikpulih pembetung dan kerosakan struktur sedang dijalankan selepas kejadian bulan lalu.

Seorang buruh ladang, Sabri Mamat, 36, berkata, dia sempat melintas laluan berkenaan dengan motosikal pada pukul 8 pagi hari ini untuk ke tempat kerja di Ulu Cheka.

“Ketika saya melalui di sini, keadaan mendapan tanah sudah teruk dan langsung tidak boleh dilalui kenderaan, manakala air memenuhi kawasan ladang sawit berdekatan akibat hujan lebat sejak dua hari lalu.

“Sekiranya kerosakan lambat dibaiki, kami dalam rata-rata kalangan penduduk berpendapatan rendah dan ada yang cuma mengambil upah harian amat sukar ke tempat kerja,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan (JPKK) Damak, Zulkifly Mahmud, 56, berkata, kejadian itu menyebabkan pelajar yang menduduki peperiksaan SPM di SMK Damak hari terkandas dan terpaksa dibantu oleh orang ramai.

“Memandangkan laluan ini antara kemudahan yang amat penting, JPKK berharap kerajaan segera membaikpulih kerosakan pembetung dan kawasan mendapan yang menyebabkan laluan terputus sejak 24 Januari lalu bagi kenderaan daripada dua hala.

“JPKK amat berharap usaha baik pulih segera dilakukan supaya kenderaan dari dua hala boleh melalui semula utama ini lebih lagi ke tempat kerja lebih lagi bulan Ramadan bakal tiba untuk penduduk berbelanja di bandar Jerantut,” katanya.

Ujarnya, kesulitan ini ditempuh oleh penduduk Kampung Batu Balai, Kampung Damak, Kampung Som, Ulu Cheka dan beberapa kawasan lain ke tempat kerja termasuk ke bandar Jerantut dan Benta untuk urusan tertentu yang menggunakan jalan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya