Kelantan FC, Kelantan United berkelana di luar Kota Bharu sepanjang Ramadan

Kelantan FC, Kelantan United berkelana di luar Kota Bharu sepanjang Ramadan

WAN Roslan Wan Hamat (enam dari kanan) bersama pengurusan serta pemain-pemain Kelantan United FC ketika melancarkan kenderaan rasmi pasukan di Kota Bharu, Kelantan petang tadi.-UTUSAN/MUSTQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pasukan Kelantan FC dan Kelantan United terpaksa berkelana di luar Kota Bharu selama sebulan sepanjang Ramadan apabila kerajaan negeri mengekalkan dasar tidak membenarkan aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV sepanjang tempoh tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat menjelaskan, keputusan itu selari dengan dasar kerajaan tidak membenarkan sebarang aktiviti susulan kawasan pekarangan stadium dijadikan sebagai Madinah Ramadan untuk tujuan solat tarawih.

“Jadi kita (kerajaan negeri meminta) kedua-dua pasukan iaitu Kelantan United dan Kelantan FC untuk meneruskan perlawanan Liga Super di tempat lain.

“Hal berikutan kita masih lagi menganjurkan Madinah Ramadan di tapak stadium seperti tahun-tahun sebelumnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Penaja Kelantan United FC Bagi Musim 2023 di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Wan Roslan memaklumkan kerajaan negeri menjalinkan kerjasama erat bersama Kelantan United bagi melebarkan lagi peluang bakat-bakat muda bola sepak di negeri ini dalam arena bola sepak tempatan.

“Jadi kita minta agar Kelantan United menyediakan ruang agar pemain-pemain terbaik daripada Liga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Piala Menteri Besar ini dapat diserapkan ke dalam kelab itu agar mereka dapat melebarkan sayap dalam arena bola sepak tempatan,” ujarnya.

Sementara itu Presiden Kelantan United, Rozi Muhamad berkata, pasukan itu mempunyai skuad Piala Presiden dan skuad simpanan yang menyediakan ruang bagi pemain-pemain berkenaan.

“Kita boleh serapkan mereka ke dalam kedua-dua skuad berkenaan dan sekarang ini pun sudah ada pemain-pemain yang dilahirkan daripada Liga Elit Dun dalam skuad tersebut.

“Jadi kita mempunyai kerjasama erat bersama kerajaan negeri dalam sudut itu dan insya Allah ia akan berterusan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN