Kayuhan Menjunjung Kasih kembali - Utusan Malaysia

Kayuhan Menjunjung Kasih kembali

Kayuhan Menjunjung Kasih
NORAINI Roslan menunjukkan jersi kayuhan yang akan diberikan kepada peserta Program Kayuhan Menjunjung Kasih 2022 (Edisi Ke-3) pada pelancarannya di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Program Kayuhan Menjunjung Kasih 2022 (Edisi Ke-3) anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) kembali selepas pandemik Covid-19 menghalang penganjurannya pada  2021.

Malah, program tersebut sepatutnya dianjurkan pada November tahun lalu, namun terpaksa ditunda pada Mac ini bagi membolehkan MPK memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.

Bagaimanapun, jarak kayuhan pada program yang akan berlangsung pada 12 Mac ini dilanjutkan sehingga 50 kilometer (km) berbanding 37km pada 2019 dan 22km ketika kali pertama dianjurkan pada 2017.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Noraini Roslan, beliau menyasarkan sehingga 1,000 peserta dan sehingga kini seramai 300 sudah pun mendaftar untuk menyertai kayuhan bersama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Pada edisi kali ini kayuhan santai ini ditambah jarak kayuhan mencecah ke 50km dengan melalui Daerah Klang Utara dan Daerah Klang Selatan. 

“Keunikan pada edisi kali ini para peserta kayuhan akan merentasi dua buah jambatan yang menghubungkan Daerah Klang Utara dan Daerah Klang Selatan iaitu Jambatan Raja Muda Nala dan Jambatan Kota yang ada keunikan dan sejarah tersendiri jambatan tersebut,” katanya dalam majlis pelancarannya hari ini.

Beliau menambah, kayuhan tersebut akan mempromosikan tempat-tempat tarikan di sekitar bandar raya Klang serta menikmati pemandangan pembangunan infrastruktur yang tersusun, keindahan suasana bandar dan desa serta menikmati kawasan rekreasi Taman Bandar Bukit Raja.

Dalam pada itu, Noraini memaklumkan, peserta yang mendaftar boleh mendapatkan sehelai jersi, medal penamat, sijil elektronik, makanan serta cabutan bertuah yang ditaja lapan syarikat antaranya Sime Darby Property Sdn. Bhd., Kossan Rubber Industries Berhad, Central Spectrum Sdn. Bhd. dan Samsung Electronics Sdn. Bhd. pada hari penganjuran.

“Orang ramai yang ingin menyertai program kayuhan ini boleh mendaftar di laman https://chckpointspot.asia/event/kayuhanmenjunjung-kasih-23 dengan bayaran RM50,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya