Kartel daging didenda RM1.5 juta, pengarah RM100,000 - Utusan Malaysia

Kartel daging didenda RM1.5 juta, pengarah RM100,000

YONG CHEE KEONG didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas mengakui bersalah terhadap tujuh pertuduhan termasuk menggunakan logo halal palsu, tiga tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Syarikat pembekal daging sejuk beku, LY Frozen Food Sdn. Bhd., didenda sebanyak RM1.5 juta selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan termasuk menggunakan logo halal palsu, tiga tahun lalu.

Pengarahnya, Yong Chee Keong, 42, turut didenda sebanyak RM100,000 dan jika gagal membayarnya boleh dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah terhadap tujuh pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.

Keputusan itu dibuat Hakim, Fatimah Zahari selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah terhadap kesemua pertuduhan tersebut.

Fatimah turut memerintahkan seorang lagi tertuduh, iaitu pengurus stor, Chong Kim Kuang, 50, dibebas dan dilepaskan daripada kesemua tujuh pertuduhan sebelum ini kerana dia hanyalah seorang pekerja di syarikat berkenaan.

Dalam pada itu, Fatimah juga memerintahkan seorang lagi pengarah syarikat, Tan Siew Huak, 44, yang masih gagal dikesan pihak berkuasa hingga kini dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa telah mengguna, memiliki dan menawarkan 3,418 kotak makanan sejuk beku menggunakan perihal dagangan palsu tanpa kelulusan dua syarikat pembekal dari Australia selain menggunakan logo halal palsu serta logo halal tanpa kelulusan daripada badan pensijilan halal Australia.

Kesalahan itu dilakukan di premis syarikat berkenaan yang beralamat di Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, Kulai antara 1 hingga 3 Disember 2020.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 5(1)(a), Seksyen 5(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011, Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM100,000 hingga RM500,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 12 Februari lalu, mahkamah sama melepas dan membebaskan syarikat LY Frozen Food Sdn. Bhd., Kim Kuang dan akauntan syarikat, Ng Yee Xin, 39, daripada 12 pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM12.9 juta antara Oktober 2018 hingga Disember 2020.

Fatimah membuat keputusan tersebut selepas ketiga-tiga tertuduh membayar kompaun keseluruhan sebanyak RM1.5 juta atas kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sophian Zakaria, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Zamri Idrus.

Pada 2 Disember 2020, media melaporkan syarikat pembekal daging sejuk beku itu aktif menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina serta membungkus semula daging terbabit menggunakan logo halal palsu sebelum dijual ke seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya