Jumlah mangsa banjir di Johor terus berkurangan - Utusan Malaysia

Jumlah mangsa banjir di Johor terus berkurangan

SEORANG kanak-kanak bermain air banjir yang melanda Kampung Parit Warijo, Sri Medan, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini mencatatkan penurunan dengan seramai 926 mangsa daripada 264 keluarga masih berada di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat dan Batu Pahat, setakat pukul 4 petang ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 976 mangsa daripada 272 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS pada tadi.

Beliau berkata, sebuah PPS di Balai Raya Kampung Perpat, Kota Tinggi yang menempatkan 41 mangsa daripada enam keluarga ditutup selepas kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Turut ditutup ialah sebuah PPS di Segamat, iaitu Balai Raya Kampung Kuala Paya yang menempatkan lima mangsa banjir daripada sebuah keluarga sudah ditutup pada pukul 12.30 tengah hari tadi.

“Ini menjadikan hanya tinggal dua PPS yang masih dibuka di Segamat, iaitu Dewan Komuniti Tasek dan Balai Raya Kampung Seberang Batu Badak yang menempatkan 48 mangsa daripada 15 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, seramai 878 mangsa daripada 249 keluarga ditempatkan di enam PPS di Batu Pahat.

PPS yang masih dibuka di daerah itu melibatkan Dewan Orang Ramai Kampung Sejagong, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Sejati, SK Sri Medan, SK Tenaga Setia, Dewan Orang Ramai Sri Medan dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chong Hwa.

Jabatan Kerja Raya (JKR) turut memaklumkan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau, Kulai masih ditutup untuk semua kenderaan disebabkan tanah runtuh, manakala Jalan Tanah Abang, Mersing masih ditutup disebabkan air naik.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan hanya sebatang sungai yang menunjukkan paras air pada tahap bahaya, iaitu Sungai Bekok di Batu Pahat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya