Johor keluar garis panduan umat Islam rai perayaan agama lain - Utusan Malaysia

Johor keluar garis panduan umat Islam rai perayaan agama lain

MOHD. FARED MOHD. KHALID (kiri) dan Baharin menunjukkan garis panduan fatwa yang dikeluarkan MAINJ berkenaan umat Islam menghadiri perayaan agama lain di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri bakal mewartakan garis panduan kepada rakyat negeri ini, khususnya umat Islam sebelum menghadiri perayaan dan upacara ritual penganut agama bukan Islam bermula minggu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, fatwa berkenaan garis panduan itu telah diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Menurutnya, umat Islam dibenarkan untuk memenuhi undangan majlis keraian sesuatu perayaan bukan Islam, namun tidak terlibat dengan sebarang upacara ritual yang berkait dengan amalan agama tersebut.

“Menurut sebilangan ulama, hukum meraikan undangan ke majlis perayaan bukan Islam adalah harus dan dibenarkan, contohnya majlis terbuka atau majlis makan malam dan seumpamanya.

“Dalam konteks berkenaan, penganjur majlis perayaan bukan Islam haruslah peka dan memastikan sensitiviti umat Islam dihormati selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama rasmi Johor.

“Namun demikian, umat Islam telah diharam dan dilarang daripada menyertai upacara ritual perayaan bukan Islam, ini termasuk di rumah ibadat agama berkenaan atau di tempat-tempat lain,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Baharin Jalal.

Mohd. Fared berkata, individu yang melanggar garis panduan tersebut boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 9, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

Beliau memberitahu, empat garis panduan tersebut adalah perkara, perbuatan atau perkataan yang bertentangan dengan akidah Islam, bertentangan dengan syarak, bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya serta menyentuh sensitiviti umat Islam.

“Antara contohnya termasuk meletakkan tanda berciri agama di dahi atau anggota tubuh lain, memberi pujian kepada agama bukan Islam, memakai pakaian Santa Claus, percampuran tanpa batas, berpakaian mencolok mata serta membuat ucapan yang berbentuk dakyah atau menghina agama Islam,” katanya.

Justeru, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua agama serta pengurus rumah ibadat bukan Islam bagi memberikan penerangan tentang garis panduan tersebut.

“Langkah ini bukan bermaksud menjarakkan keharmonian kaum dan agama, sebaliknya panduan ini adalah agar semua pihak berhati-hati supaya umat Islam tidak terjerumus dalam perbuatan yang melanggar syarak tanpa disedari.

“Semua pemimpin agama termasuk bukan Islam perlu menerima perkara ini dan diharapkan langkah ini bukan sahaja dapat mengukuhkan keharmonian beragama di Johor, malah memastikan akidah umat Islam terpelihara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya