JKDM Pahang rampas rokok putih bernilai RM1.5 juta - Utusan Malaysia

JKDM Pahang rampas rokok putih bernilai RM1.5 juta

WAN APANDI Wan Hassan (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya mematahkan cubaan menyeludup kira-kira dua juta batang rokok putih dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1.5 juta, 12 Februari lalu.

Pengarah JKDM Pahang, Wan Apandi Wan Hassan berkata, hasil maklumat orang awam, pihaknya berjaya mengesan sebuah lori dipercayai dalam perjalanan ke Pantai Timur di parkir Stesen Minyak, Jalan Kota Bharu – Kuala Terengganu, Kampung Anak Ikan, di Jerteh, Terengganu.

“Semasa pemeriksaan, lori yang ditinggalkan di pekarangan stesen minyak itu didapati tiada individu dan dipercayai sudah melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan fizikal di tempat kejadian mendapati muatan yang dibawa adalah rokok yang disyaki barang larangan import,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta membabitkan rokok putih dianggarkan bernilai RM160,000 beserta cukai RM1.3 juta.

Lori dan rokok yang dirampas dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Kuantan untuk siasatan lanjut.

Mengulas lanjut, Wan Apandi berkata, sindiket menggunakan lori separuh kanvas itu bergerak aktif pada waktu malam sehingga awal pagi dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Penyeludupan ini bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda 20 kali ganda nilai barang atau RM 500,000 (yang mana lebih tinggi), atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut,” katanya.

Orang awam diseru menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya