KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak menjual atau memberi pinjam kenderaan mereka kepada warga asing.
Pengarahnya, Mohd. Misuari Abdullah berkata, ingatan itu susulan pihaknya mengesan warga asing terutamanya etnik Rohingya menunggang motosikal dan memandu kereta yang tidak mengikut spesifikasi lengkap sebagaimana termaktub dalam perundangan negara.
Menurutnya, selain itu, kebanyakan daripada warga asing di Kelantan dikenal pasti menggunakan kenderaan milik orang tempatan tinggal di kawasan pinggir bandar.
“Kita akui memang ada kes warga asing membawa kenderaan di jalan raya. Selain itu, banyak kes melibatkan pihak majikan yang memberi kebenaran atau meminjamkan kenderaan kepada warga asing untuk pelbagai tujuan.
“Sehubungan itu, JPJ akan mengeluarkan notis saman kepada pemilik sebagai pengajaran,” katanya selepas merasmikan Program Taklimat Kursus Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) Bagi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kelantan dan Terengganu di Akademi Memandu Kota Raya di Jalan Padang Tembak, di sini hari ini.
Mohd. Misuari memberitahu, siasatan mendapati, kebanyakan warga asing menggunakan kenderaan milik rakyat tempat hanya menunjukkan mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) semasa mereka ditahan.
Katanya, kesalahan memandu kenderaan di jalan raya itu sekali gus menyukar pelbagai prosedur sekiranya berlaku nahas kerana kebanyakan kenderaan mereka tidak mempunyai perlindungan insurans.
“JPJ Kelantan akan menjalankan operasi melibatkan warga asing memandu di jalan raya secara berkala dan pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lokasi yang sering menjadi laluan mereka,” ujarnya.-UTUSAN