Jalan Janda Baik - Genting Sempah, Bukit Tinggi ditutup akibat tanah runtuh - Utusan Malaysia

Jalan Janda Baik – Genting Sempah, Bukit Tinggi ditutup akibat tanah runtuh

SEBAHAGIAN jalan yang rosak dan hakisan tanah akibat diterjah kepala air dalam kejadian banjir di Janda Baik di Bentong, Pahang semalam. - FOTO IHSAN JKR BENTONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Jalan pintasan Bukit Tinggi di Seksyen 2.44 berdekatan Simpang Tiga Jalan Janda Baik di sini ditutup kerana rosak akibat tanah runtuh berikutan banjiri dalam kejadian kepala air semalam.

Jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Bentong dalam kenyataan berkata, panjang kawasan yang rosak kira-kira 100 meter dan tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.

“Jalan dari Simpang Janda Baik menghala ke Genting Sempah dan Simpang Janda Baik turun ke Bukit Tinggi ditutup sepenuhnya buat sementara berikutan kerosakan laluan.

“Pengguna jalan raya boleh menggunakan jalan alternatif melalui Jalan Simpang Janda Baik ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut jurucakap itu, pemasangan ‘Traffic Control Plan’ (TCP) bagi makluman tanah runtuh dan jalan rosak sudah dilaksanakan oleh petugas YP Maintenance Sdn. Bhd.

Kejadian kepala air melanda Kampung Janda Baik dan Kampung Bukit Tinggi dilaporkan pukul 6.30 petang semalam menyebabkan banjir lumpur di kawasan premis dan penempatan di situ.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, siasatan perlu disegerakan bagi mengenal pasti sama ada berlaku penerokaan atau pembukaan tanah di bahagian atas bukit sehingga menyebabkan bencana banjir dan kepala air kerap berlaku.

“Saya telah meninjau kejadian banjir berikutan berlaku kepala air bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Thomas Su petang semalam untuk mengetahui punca kejadian sebenar di samping memantau kebajikan penduduk.

“Saya memohon orang ramai supaya berwaspada walaupun banjir sudah surut memandangkan keadaan cuaca masih tidak menentu,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebooknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya