KUANTAN: Seorang ahli UMNO Bahagian Bentong, Haslihelmy DM Zulhasli menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO bahagian itu pada pemilihan parti tersebut bermula bulan ini.
Haslihelmy, 36, berkata, keputusan itu dibuat kerana beliau mahu terus menyumbang usaha dan tenaga bagi memantapkan UMNO.
“Dengan pengalaman saya sejak aktif bersama UMNO bermula 2009 ketika berusia 22 tahun, saya yakin dapat menyumbang idea dan bersama-sama kepimpinan UMNO Bahagian Bentong bagi memulihkan sokongan rakyat khususnya di Bentong kepada parti keramat ini.
“Untuk mengembalikan kegemilangan parti ini, UMNO memerlukan barisan kepimpinan mantap yang mempunyai pelbagai latar belakang dan pengalamannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Haslihelmy yang merupakan anak jati Bentong berkata, UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu dan perubahan perlu dilakukan selaras perkembangan semasa bagi mengembalikan parti ini di hati rakyat.
“Saya sedar cabaran besar utama adalah menarik minat dan sokongan orang muda untuk kembali menyokong UMNO. Maka oleh itu, saya bersedia mendepani perkara utama ini,” katanya.
Menurutnya, hala tujunya cukup jelas iaitu untuk melaksanakan perubahan dalam UMNO serta memulihkan sokongan rakyat pelbagai peringkat kepada parti keramat ini.
“Elak serang menyerang antara satu sama lain, tumpu agenda memartabatkan UMNO dan serah kepada perwakilan untuk membuat keputusan,” katanya yang memaklumkan bapanya merupakan veteran UMNO Bentong. – UTUSAN