DUNGUN : Kelibat seekor harimau belang yang dilihat berkeliaran di laluan Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) ke Kampung Pasir Raja, berhampiran Kampung Jongok Batu, Hulu Dungun dekat sini pada Isnin lalu meresahkan penduduk dan pengguna jalan raya.
Penduduk mendakwa kemunculan haiwan liar itu bukan hanya membahayakan pengguna jalan raya, malah dikhuatiri mengancam nyawa penternak lembu dan pekebun yang mempunyai ladang di kawasan berdekatan.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ada penduduk yang mendakwa terjumpa kesan tapak kaki harimau belang tersebut di kebun mereka dan ada juga ternakan yang ditemukan mati.
Menurutnya, pengguna jalan raya juga mendakwa mereka melihat kelibat harimau belang tersebut melintas jalan kawasan tersebut.
” Kita telah membuat laporan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut bagi menjamin keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.
Salah seorang penternak lembu, Mohd. Rofi Abdul Razak berkata, dia yang sering berada di kawasan ladang hingga lewat petang bimbang sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
“Kita bukan hanya bimbang keselamatan diri, tapi juga risau kalau ternakan jadi mangsa pak belang.
“Kita harap pihak Perhilitan akan mengambil tindakan sewajarnya demi keselamatan kami sebab kawasan ini tidak jauh dari penempatan penduduk, hanya sekitar 10 kilomter,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kemunculan harimau belang itu pada Isnin lalu.
“Kita sedang membuat pemantauan dan kita harap agar penduduk terus melaporkan kepada pihak Perhilitan jika terlihat kelibat haiwan liar ini dan jangan sebarkan di media sosial berikutan ia mengundang minat pemburu haram.
“Kawan tersebut dekat dengan hutan simpan yang memang menjadi habitat mereka. Kadangkala haiwan liar ini hanya melintasi kawasan untuk ke hutan berdekatan, namun kita sedang memantau berhubung perkara ini,” katanya. – UTUSAN