JOHOR BAHRU: Belanjawan 2023 yang akan dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini diharap membawa khabar gembira kepada rakyat negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yakin ada beberapa projek yang dapat memberikan manfaat kepada rakyat negeri ini akan diumumkan dalam pembentangan belanjawan tersebut
“Saya yakin dan percaya selepas perbincangan yang dibuat antara kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan, petang ini akan ada berita-berita baik dan menarik untuk negeri Johor.
“Bukan baik untuk Johor sahaja sebab limpahan ekonominya adalah untuk negara Malaysia juga,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Pemimpin Muda Johor di Hotel KSL Resort, di sini hari ini.
Sebelum ini, Johor menyuarakan hasrat supaya kerajaan Persekutuan menyertakan beberapa projek dalam Belanjawan 2023 termasuk pelebaran lebuhraya, pembinaan hospital awam baharu serta penyambungan semula projek Tren Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.
Belanjawan 2023 akan dibentangkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada pukul 4 petang ini.
Mengenai program tersebut, Onn Hafiz memberitahu, kerajaan negeri komited dalam memastikan pelbagai agenda pembangunan yang akan dilaksanakan pihaknya mengambil kira kepentingan golongan muda.
“Dalam usaha menjadikan Johor sebuah negeri maju pada masa depan, adalah tanggungjawab kerajaan negeri bersama-sama pelbagai pihak untuk pastikan kejayaannya. – UTUSAN