JOHOR BAHRU: Situasi banjir di negeri ini terus menunjukkan perkembangan positif apabila kini tinggal 1,381 mangsa daripada 379 keluarga yang masih ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memaklumkan, jumlah mangsa itu sama seperti pukul 8 malam tadi.
“Empat daerah yang masih terjejas ialah Batu Pahat, Kota Tinggi, Mersing dan Segamat. Batu Pahat kekal daerah paling terjejas dengan 919 mangsa daripada 254 keluarga yang ditempatkan di tujuh buah PPS.
“Di Kota Tinggi terdapat seramai 223 orang daripada 59 keluarga di empat PPS dan di Mersing berjumlah 147 orang daripada 38 keluarga di tiga PPS, manakala di Segamat seramai 90 orang daripada 27 keluarga di tiga PPS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Azmi memberitahu, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan di Mersing, Jalan Tanah Abang dan selekoh pertama Tanah Abang masih ditutup disebabkan air naik setinggi 1.0 meter (m), manakala di Kulai, Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau masih ditutup untuk semua kenderaan disebabkan tanah runtuh.
Jabatan Meteorologi Malaysia pula memaklumkan hanya daerah Mersing dan Kota Tinggi yang masih diletakkan dalam kategori amaran hujan berterusan pada tahap waspada. – UTUSAN