PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berpendapat tidak munasabah untuk polis menghalang wanita memakai seluar pendek di atas paras lutut memasuki balai polis kerana individu berkenaan memerlukan bantuan.
Menurut beliau, berkemungkinan wanita terbabit semasa itu tiada pilihan dan harus bergegas membuat laporan.
“Saya beri komen ini secara umum sebab kita tidak berada di tempat anggota (polis) itu. Kita tidak tahu bagaimana keadaan di situ tapi bagi saya secara umumnya kita tidak harus mendiskriminasi sesiapa, tidak boleh pilih kasih kerana ada sebab individu itu pergi ke balai polis.
“Tak kira pakaian dia macam mana, terutamanya (ketika) kemalangan kadang-kadang untuk proses insurans mereka perlu membuat laporan dalam masa 24 jam kalau tak silap saya.
“Walau pendek atau macam mana pakaian dia tapi dia memerlukan bantuan (ketika itu), jadi mereka bergantung kepada pihak berkuasa untuk membantu mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Meningkatkan Daya Tahan dan Psikologi Wanita (Matahari) dan Program Literasi Perundangan dan Hak Wanita (Iris) di sini hari ini.
Nancy mengulas demikian berhubung isu tular seorang wanita tempatan yang dihalang memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kerana memakai seluar pendek di atas paras lutut.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, wanita berusia lingkungan lewat 30-an itu hadir ke IPD untuk membuat laporan berhubung satu kemalangan jalan raya.
“Anggota sentri mendapati wanita berkenaan memakai seluar pendek paras paha (di atas paras lutut dan telah menasihatinya supaya menukar seluar yang lebih sesuai selaras etika pemakaian di premis kerajaan,” kata Mohd. Zaid. – UTUSAN