KLUANG: Tiga lelaki yang dikenali sebagai ‘Geng Sekolah Rongak’ tumpas apabila berjaya ditahan polis dalam tiga serbuan di Kluang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, mereka yang berusia antara 21 jingga 34 tahun dipercayai terlibat dalam kira-kira 10 kes pecah sekolah di Mersing, Batu Pahat dan Kluang sejak Disember lalu.
Hasil semakan mendapati suspek berusia 34 tahun mempunyai 19 rekod jenayah lampau selain pernah dikenakan hukuman buang daerah di Pahang, manakala dua lagi berusia 21 tahun dengan salah seorang daripadanya memiliki satu rekod kesalahan narkotik.
“Tangkapan pertama ke atas suspek berusia 34 tahun di sebuah pusat hiburan di bandar Kluang pukul 11 malam, manakala kedua dan ketiga yang berusia 21 tahun ditahan di kediaman masing-masing pada pukul 2 pagi serta 3 petang hari yang sama.
“Hasil siasatan ke atas tiga tahanan itu, pihak polis berjaya merampas enam buah komputer riba pelbagai jenama, dua tablet, dua telefon bimbit, satu unit ‘walkie talkie’, dua kotak muzik, dua keping resit penjualan komputer, sebatang pengunci L, sebatang spanar serta sebuah kereta Proton Wira,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, hari ini.
Modus operandi kumpulan tersebut dengan menyasarkan sekolah-sekolah yang difikirkan boleh dipecah masuk selepas mendapati pengawal keselamatan berada di pondok kawalan di hadapan sekolah, katanya.
Semua suspek kini direman selama empat hari hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda dan sebat, jika sabit kesalahan.
Polis yakin berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes pecah sekolah di Mersing, Batu Pahat dan Kluang yang melibatkan kerugian hampir RM50,000 dengan tertangkapnya geng berkenaan. – UTUSAN