TENOM: Pendakwah terkenal, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, tiba di pekarangan Mahkamah Majistret pada pukul 9.10 pagi tadi.
Ebit yang berkemeja dan berseluar serba hitam serta berkopiah putih tiba dengan menaiki Toyota Land Cruiser bersama peguam dan pengiringnya.
Beliau hadir ke mahkamah bagi menghadiri sambungan perbicaraan kes gangguan seksual terhadap seorang wanita yang didakwa dilakukan olehnya antara Mac hingga Jun 2021.
Atas pertuduhan itu, Ebit didakwa bagi 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Justeru, beliau didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Kes itu dibawa ke mahkamah susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa, seorang wanita berusia 42 tahun pada 7 Ogos 2021.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.
Sementara itu, Ebit diwakili Peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Timothy Daut.-UTUSAN