LIPIS: Seekor gajah jantan liar yang ditangkap pada 14 Februari lalu oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) Pahang sudah dipindahkan ke habitat asal yang jauh daripada penempatan manusia dalam operasi pemindahan di Kampung Simoi Lama, Pos Betau di sini semalam.
Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Che Ku Mohd. Zamzuri Chik Wan Ab. Rahman berkata, operasi pemindahan bermula pukul 9 pagi dan berjaya menaikkan gajah ini ke atas lori pada pukul 12 tengah hari.
“Kakitangan UTG dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang memulakan operasi pada semalam, pukul 9 pagi dengan menarik gajah jantan liar seberat tiga tan ini sejauh satu kilometer ke loading bay melalui jalan balak sejauh lapan kilometer untuk dinaikkan ke atas lori pada pukul 12 tengah hari.
“Operasi ini turut dibantu oleh dua ekor gajah denak, iaitu Kasturi dan Rambai digunakan untuk memujuk dan menarik gajah liar berkenaan ke atas lori semasa operasi pemindahan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Che Ku Mohd. Zamzuri, operasi pemindahan itu melibatkan 26 anggota UTG PKGK Kuala Gandah dan kakitangan Perhilitan Pahang berjaya memindahkan gajah liar ini dianggarkan berusia 44 tahun berukuran saiz tapak kaki 16.7 inci ke habitat asal yang mempunyai sumber makanan yang banyak.
Katanya, gajah seberat kira-kira tiga tan itu ditangkap pada 14 Februari lalu, pukul 12.25 tengah hari selepas pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat yang mendakwa haiwan terbabit masuk ke kawasan penempatan dan kebun mereka.
“Gajah jantan ini dipercayai terpisah daripada kumpulannya yang menghuni di Hutan Simpan Ulu Jelai antara kawanan (gajah liar) yang menceroboh kebun dan mengancam keselamatan masyarakat Orang Asli di beberapa penempatan penduduk setempat sebelum ini.
“Operasi tangkapan serta memindahkan haiwan terbabit akan terus dilakukan jika kawanan gajah liar itu terus mengancam keselamatan penduduk Orang Asli yang sentiasa berada dalam kebimbangan sejak akhir tahun lalu,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan pada 6 Disember tahun lalu dan 9 Januari lalu ancaman gajah liar itu meragut nyawa wanita Orang Asli di Kampung Simoi Baru dan remaja lelaki di Kampung Tual, Sinderut apabila kedua-dua mangsa maut dipijak haiwan liar tersebut. – UTUSAN