Gajah liar muncul lagi, musnah tanaman penduduk Orang Asli Kampung Paruh, Ulu Jelai - Utusan Malaysia

Gajah liar muncul lagi, musnah tanaman penduduk Orang Asli Kampung Paruh, Ulu Jelai

KESAN geselan belalai gajah liar di dinding buluh rumah penduduk Orang Asli di Kampung Paruh, Pos Lenjang di Lipis, Pahang. - FOTO/IHSAN PENDUDUK KAMPUNG PARUH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seekor gajah liar memasuki kawasan penempatan penduduk dan mengesel-geselkan belalainya ke dinding rumah termasuk merosakkan lebih 30 batang pokok kelapa, pokok pisang dan sayur-sayuran di Kampung Paruh, Ulu Jelai di sini hari ini.

Penduduk Kampung Paruh, Pos Lenjang, Kueh Ruding, 66, berkata, kejadian pukul 3 pagi itu tidak disangka-sangka berlaku ketika kebanyakan penduduk Orang Asli di situ sedang nyenyak tidur.

“Mujurlah kehadiran gajah liar ini disedari oleh seorang penduduk dan terkejut jaga lalu menjerit sehingga menyedarkan saya serta jiran lain.

“Ada sebuah rumah penduduk di sini telah digesel belalai haiwan liar ini, tetapi mujurlah tidak tercabut dinding buluh berkenaan,” katanya di Kampung Paruh di sini hari ini.

Menurut Kueh, gajah liar itu mungkin terpisah daripada kawanannya yang dianggarkan masih ada kira-kira 20 ekor merayau di hutan Ulu Jelai dan kerap ditemukan oleh penduduk Kampung Simoi Lama, Kampung Chaang, Kampung Titom dan Kampung Tual (Sinderut).

Rakannya, Bah Tayar Sedik, 56, berkata, dia melihat kesan tapak kaki yang agak besar berdekatan bangsalnya yang telah dirobohkan oleh gajah liar, manakala lebih 30 batang pokok getah, pisang dan tanaman komersial penduduk di situ dicabut, dimakan dan dirosakkan.

“Saya menjangkakan kami sudah bebas dari pencerobohan gajah liar selepas seekor haiwan ini ditangkap pada 17 Februari lalu. Kami berasa lapang, tetapi lebih berwaspada. Rupanya masih ada lagi gajah liar merayau ke kampung kami.

“Sejak kejadian ini, kami mula bimbang untuk keluar khususnya ke kebun tanaman di pinggir kampung dan masuk hutan untuk mencari rezeki,” katanya.

Bah Tayar berharap pihak berwajib datang semula ke Kampung Paruh dan kawasan berdekatan untuk memantau pergerakan haiwan liar yang menjadi sasaran kediaman dan kebun tanaman pada sebelah malam.

Penduduk Kampung Simoi Lama, Norfini Ajik, 44, berkata, kejayaan pihak berkenaan menangkap seekor gajah liar di kampung tersebut pada 17 Februari lalu masih tidak menyelesaikan masalah ancaman haiwan liar yang terbesar di darat itu di kawasan Ulu Jelai.

“Masih ada lagi kawanan gajah liar yang merayau serta menceroboh beberapa buah kampung berdekatan untuk mencari makanan dan selebihnya dimusnahkan ditinggalkan begitu sahaja.

“Selagi gajah liar ini ada merayau di kawasan kampung ini, bermakna kehidupan kami sentiasa dirundung ketakutan dan mengganggu rutin mencari rezeki dalam kalangan penduduk yang kebanyakannya miskin,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya