Gajah liar lapar ceroboh Kampung Simoi Lama cari makan - Utusan Malaysia

Gajah liar lapar ceroboh Kampung Simoi Lama cari makan

TANGKAP layar seekor gajah liar yang menceroboh masuk ke Kampung Orang Asli Simoi Lama, Pos Betau di Lipis, Pahang. - FOTO /IHSAN PENDUDUK KAMPUNG SIMOI LAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seekor gajah liar lapar menggemparkan penduduk apabila menceroboh masuk ke Kampung Simoi Lama, Pos Betau di sini hari ini bagi mencari makanan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi, kira-kira 200 orang penduduk bertempiaran lari apabila ternampak gajah liar masuk kampung.

Kebanyakan wanita lari membawa anak masing-masing, manakala beberapa orang lelaki cuba menghalau gajah liar terbabit ke hutan berdekatan.

Penduduk Simoi Lama, Bah Pura Bah Sut, 32, berkata, gajah liar itu dalam kawanan antara tiga hingga empat ekor yang sebelum ini menceroboh kawasan tanaman pisang dan getah penduduk kampung terbabit.

“Kemungkinan salah seekor berpisah dari kawanannya lalu masuk ke kampung kerana di sini banyak tanaman sayur-sayuran dan pisang.

“Ketika saya sedang minum, ramai penduduk menjerit ‘gajah masuk’ disusuli dengan tangisan kanak-kanak dan saya meluru keluar, rupa-rupanya gajah melintas berdekatan rumah jiran,” katanya di Kampung Simoi Lama, Pos Betau di sini hari ini.

Menurut Bah Pura, dia terus keluar dan menyelamatkan beberapa orang kanak-kanak dan berlari ke arah pinggir kampung.

Katanya, penduduk kecewa setelah beberapa kali aduan pencerobohan gajah liar dibuat, masih tiada tindakan diambil oleh pihak berwajib.

Jirannya, Norfini Ajik, 44, berkata, jeritan penduduk mengejutkannya yang sedang memasak di dapur.

“Kanak-kanak kelihatan amat takut dan menangis apabila nampak seekor gajah liar kelaparan mempunyai dua batang gading tajam melintas berdekatan rumah,” katanya.

Norfini yang kematian anak saudaranya, Wak Angkat Yok Tong, 39, yang maut dipijak gajah liar pada 6 Disember tahun lalu melahirkan rasa kecewa kerana tidak ada sebarang tindakan pihak kerajaan untuk memindahkan haiwan liar ini.

Ujarnya, setelah mengejar penduduk dan kenderaan di jalan balak kelmarin, kini haiwan itu semakin agresif masuk ke kampung pula sekali gus dibimbangi mengancam nyawa penduduk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya