LIPIS: Setelah hampir dua bulan bersembunyi di habitat Hutan Simpan Ulu Jelai apabila diburu dan dipantau pergerakannya oleh renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), seekor gajah liar kembali dan mengganas semula di Kampung Simoi Baru, Pos Betau di sini.
Kehadiran semula gajah liar itu mengundang ketakutan kira-kira 300 penduduk Orang Asli Simoi Baru kerana haiwan itu pernah menceroboh kediaman serta memijak seorang wanita, Wak Angkat Yok Tong, 39, sehingga mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian pada 6 Disember tahun lalu.
Tok Batin Kampung Simoi Baru, Batin Bah Jong Kerang berkata, sudah tiga hari gajah liar kembali mengganas di kampung itu pada waktu malam.
“Hasil tanaman kami seperti pokok pisang, tebu, getah, durian muda, lada, serai serta sayuran habis musnah.
“Gajah liar ini bersembunyi di hutan berdekatan dan masuk pada waktu malam mencari makan. Paling membimbangkan penduduk di sini sekiranya haiwan ini menceroboh kediaman,” katanya di Kampung Simoi Baru di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk, Norfini Ajik berkata, sejak tiga malam ini dia dan keluarganya tidak dapat melelapkan mata berikutan gajah liar itu datang semula dan mengancam keselamatan penduduk di situ.
“Saya takut dan berjaga hingga ke waktu pagi setelah mengetahui gajah liar masuk semula dan paling takut sekiranya haiwan ini akan datang mendekati dan menggoyangkan rumah saya,” katanya.
Menurutnya, jarak rumahnya dengan rumah mangsa, Wak Angkat yang diceroboh dan dipijak gajah liar dua bulan lalu cuma 30 meter sahaja dan senario itu mengundang ketakutan dia dan keluarganya.
Seorang lagi penduduk, Bah Liput menjelaskan mereka mengalami kerugian kerana hasil tanaman sayuran komersial banyak dicabut dan rosak termasuk pokok tebu, getah dan pokok durian muda.
“Sekiranya gajah liar ini datang lagi kami terpaksa berjaga demi keselamatan keluarga kerana haiwan liar ini kemungkinan akan mendekati
kediaman penduduk,” katanya.
Ujarnya, penduduk tidak tahu hendak berpindah ke mana lagi kerana kampung itu sudah lama dibuka sejak didiami orang tua lebih 50 tahun lalu. – UTUSAN