LIPIS: Seekor gajah liar jantan dewasa yang dilaporkan berkeliaran di jalan balak Simoi Lama di sini berjaya ditangkap oleh kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang.
Penugasan tangkapan gajah liar itu dilakukan oleh lapan orang kakitangan Perhilitan Pahang kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Jurucakap Perhilitan Pahang berkata, haiwan liar dengan tapak kaki berukuran 17 inci itu dalam keadaan sihat dilaporkan berkeliaran berdekatan kampung tersebut dan jalan balak.
“Seramai lapan kakitangan Perhilitan telah pergi ke perkampungan Orang Asli Kampung Simoi Lama untuk melakukan operasi tangkapan gajah ini bermula pada 12 Februari lalu.
“Operasi tangkapan ini dilakukan susulan tular seekor gajah berada di sekitar kawasan jalan balak berdekatan Kampung Simoi Lama,” katanya dalam kenyataan di sini.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan kebimbangan penduduk tentang kehadiran gajah liar di Kampung Simoi Lama, Pos Betau, Kampung Titom dan Kampung Chaang, Pos Lenjang dan beberapa penempatan di Ulu Jelai sejak bulan Disember tahun lalu.
Kelmarin gajah liar itu dipercayai berada berdekatan laluan balak Kampung Titom dan turut mengejar penduduk yang menaiki kenderaan di laluan tersebut, manakala pada pagi semalam, haiwan liar itu muncul berdekatan Kampung Simoi Lama sebelum berjaya ditangkap oleh kakitangan Perhilitan, semalam. – UTUSAN