JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa fatwa dikeluarkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) semalam tidak bercanggah dengan nilai toleransi, perpaduan dan persefahaman antara agama.
Titah baginda, konsep Bangsa Johor yang diperkenal negeri ini meraikan kepelbagaian kaum dan agama yang dianuti rakyat berbilang kaum.
“Fatwa itu hanya melarang umat Islam daripada mengambil bahagian dalam ritual agama lain. Ia adalah garis panduan untuk mereka. Mereka masih boleh menghadiri majlis perayaan agama lain.
“Agama lain juga mesti menghormati sensitiviti umat Islam. Ia adalah jalan dua hala. Kita mesti peka terhadap kewajipan agama masing-masing untuk berbaik-baik,” titah baginda dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sultan Ibrahim turut bertitah supaya rakyat negara ini memberi tumpuan terhadap nilai-nilai yang menyatukan sesama masyarakat dan bukannya perbezaan kaum atau agama satu sama lain.
“Semua agama menekankan nilai-nilai murni seperti belas kasihan, hormat-menghormati, toleransi, kesederhanaan dan kebaikan.
“Saya harap dengan penjelasan ini, kita dapat menghentikan sebarang kekeliruan mengenai fatwa baharu itu kerana hanya menjelaskan perkara yang dibenarkan kepada umat Islam dan dilarang dalam Islam.
“Jika masih keliru, sila berjumpa Mufti negeri untuk penjelasan lanjut,” titah baginda.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid memaklumkan kerajaan negeri bakal mewartakan fatwa untuk umat Islam menghadiri perayaan dan upacara ritual masyarakat bukan Islam, bermula minggu depan.
Beliau berkata, umat Islam dibenarkan untuk memenuhi undangan majlis keraian sesuatu perayaan bukan Islam, namun tidak boleh terlibat dengan upacara ritual berkaitan dengan agama itu.
“Fatwa tersebut menetapkan empat garis panduan iaitu, perbuatan atau perkataan yang bertentangan dengan akidah Islam, bertentangan dengan syarak, bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya serta menyentuh sensitiviti umat Islam.
“Antara contohnya termasuk meletakkan tanda berciri agama di dahi atau anggota tubuh lain, memberi pujian kepada agama bukan Islam, memakai pakaian Santa Claus, percampuran tanpa batas, berpakaian mencolok mata serta membuat ucapan yang berbentuk dakyah atau menghina agama Islam.
Individu yang melanggar garis panduan tersebut boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997. – UTUSAN