Empat Ketua Puteri UMNO Johor tawar diri bertanding peringkat pusat - Utusan Malaysia

Empat Ketua Puteri UMNO Johor tawar diri bertanding peringkat pusat

NORLIZAH NOH menyiram kumpulan kanak-kanak menggunakan air daripada jentera bomba sebagai gimik perasmian Program Khatan Perdana di Dewan Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seramai empat Ketua Puteri UMNO dari negeri ini menawarkan diri bertanding di peringkat pusat pada  pemilihan parti kali ini.

Ketua Puteri UMNO Johor,  Norlizah Noh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama berkata, mereka ialah Ketua Puteri UMNO Bahagian Mersing, Rina Farhana Abdullah yang akan bertanding jawatan Naib Ketua Puteri UMNO.

Tiga lagi, iaitu Ketua Puteri UMNO Bahagian Ledang, Nadira Afiqah Abdull Rahim, Ketua Puteri UMNO Bahagian  Sri Gading, Haryani Sukarman dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Pulai, Norakmal Muhammad bertanding merebut jawatan Exco pergerakan berkenaan.

“Selaku Ketua Puteri UMNO Johor penggal ini, saya menyokong pencalonan mereka bertanding di peringkat pusat. Sudah tentulah saya hendak mereka menang dalam pertandingan tersebut.

“Saya yakin dengan kepimpinan keempat-empat Ketua Puteri ini, mereka telah menjadi Ketua Puteri dari tahun 2018, pernah melalui ketika UMNO kalah, mereka sudah jumpa macam-macam situasi, kalah, kerajaan bercampur tetapi mereka kekal pendirian tidak keluar UMNO.

“Jadi, saya lihat dari situ pun cukup menunjukkan mereka ini kuat dan insya-Allah segala cabaran mereka dapat atasi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Khatan Perdana di Dewan Felda Air Tawar 2, dekat ini.

Dalam pada itu, Norlizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri memaklumkan beliau tidak bercadang untuk bertanding jawatan di peringkat Pusat pada pemilihan parti kali ini.

“Saya sudah habis penggal sebagai Puteri kerana tahun ini saya sudah 40 tahun, namun untuk seterusnya saya tidak berhasrat bertanding apa-apa jawatan di peringkat Pusat, tetapi di peringkat bahagian insya-Allah.

“Kita dalam keluarga UMNO Bahagian Kota Tinggi amat meraikan semua, tetapi dalam politik hari ini tidak boleh buat gerak kerja macam dahulu sebab tengok sahaja pilihan raya umum lepas, parti memang nyata ditolak di semua peringkat.

“Jadi, UMNO kena diberi nafas baharu, kena buat gerak kerja baharu, tidak boleh macam dulu. Macam saya untuk pertandingan di peringkat bahagian akan tengok balik apa jawatan saya nak tanding tapi hari ini belum boleh buat keputusan apa-apa lagi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya