KLUANG: Dua remaja maut selepas motosikal ditunggang mereka hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 52.5, Jalan Batu Pahat-Kluang, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian pada pukul 7.20 malam itu menyebabkan penunggang, Iman Noizan,18, dan pemboncengnya, Muhammad Hafizul Hanafi,15, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Katanya, kejadian berlaku ketika dua remaja berkenaan dalam perjalanan dari arah bandar Kluang menuju ke Batu Pahat.
“Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian adalah motosikal yang ditunggang oleh Iman Noizan secara tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan. Pada masa sama, sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki dua lelaki dan seorang wanita berusia 37 tahun hingga 69 tahun dari arah Batu Pahat tidak sempat mengelak sebelum berlaku pertembungan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga masing-masing dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (API) 1987. – UTUSAN