KUALA KRAI: Dua lelaki dicekup selepas didapati membawa seekor burung helang tanpa lesen Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di dalam sebuah lori di Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat di sini kelmarin.
Kedua-dua lelaki berusia 30-an itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kuala Krai kira-kira pukul 5 pagi menerusi Op Bersepadu Pelbagai Kesalahan serta Operasi Bersepadu Khazanah yang dijalankan dengan kerjasama Perhilitan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob berkata, sejurus menahan lori yang dipandu salah seorang suspek anggota bertugas kemudian menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut.
“Hasil pemeriksaan telah menemui sebuah kotak yang berada di bahagian sebelah pemandu lori itu. Pemeriksaan lanjut di dalam kotak itu telah membawa kepada penemuan seekor burung yang disyaki burung helang.
“Siasatan awal mendapati, burung itu dibawa dari Kajang, Selangor dan sedang dalam perjalanan menuju ke Kota Bharu. Kedua-dua lelaki terbabit juga masing-masing didapati berasal dari Kuala Krai dan Selangor,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Azman memberitahu, polis telah merampas burung helang itu, lori yang dinaiki kedua-dua dan sebuah kotak yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM200,000.
Katanya, dua suspek itu ditahan mengikut Seksyen 68(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen.