Dikhuatiri lemas, hasrat adik jadi juru nikah kakak tidak kesampaian - Utusan Malaysia

Dikhuatiri lemas, hasrat adik jadi juru nikah kakak tidak kesampaian

SAIDATUL ALIA Ahmad, 26, (kiri) tidak dapat menahan sebak selepas mendapat berita tentang kehilangan adiknya, Muhamad Ikhmal Hakim, 20, di Pantai Teluk Chempedak di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Keseronokan mandi laut difahamkan sempena memperoleh temuduga di tempat kerja baharu akhirnya bertukar tragedi apabila seorang remaja dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Chempedak di sini kira-kira pukul 2.30 hari ini.

Mangsa, Muhamad Ikhmal Hakim Ahmad, 20, merupakan penduduk tempatan di daerah ini dengan alamat terakhirnya di Galing di sini.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada rakan mangsa, Amirul Izat Zainal Abidin 19, melaporkan mangsa disyaki lemas ketika mandi di Teluk Tongkang di Pantai Teluk Chempedak.

Menurutnya, sejurus itu, sepasukan anggota termasuk pegawai polis dari Balai Polis Kuantan bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

“Menurut Amirul Izat, mangsa dan seorang lagi rakannya Fadhli Simon, 20, mandi di kawasan berbatu lebih kurang 100 meter dari pantai Teluk Tongkang dan lokasi tersebut boleh dicapai hanya dengan berjalan kaki semasa air surut kerana paras air ketika itu hanya di paras pinggang.

“Namun begitu, ketika sedang mandi air laut mula pasang dan laluan untuk balik ke tepi pantai mula dinaiki air laut dengan arus yang deras serta ombak tinggi. Mangsa dan rakan-rakannya cuba berenang dari kawasan batu tempat mereka mandi ke pantai namun ketiga-tiga mereka telah dihanyutkan arus.

“Bagaimanapun dua rakan mangsa, Amirul Izat dan Fadhli berjaya sampai ke tepi pantai manakala mangsa malangnya dihanyutkan arus dan terus tenggelam. Mangsa dan rakan tidak dapat membantu mangsa kerana turut hampir lemas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mohd. Zahari berkata, hasil tinjauan polis mendapati kawasan itu sudah ditempatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas sebagai pengawal pantai.

Jelasnya lagi, terdapat juga bendera merah yang dinaikkan sebagai amaran keadaan bahaya untuk sebarang aktiviti riadah di situ.

“Namun begitu disebabkan lokasi kejadian berada kira-kira satu kilometer dari Pantai Teluk Chempedak membuatkan pantai Teluk Tongkang berada jauh dan terlindung dari pandangan petugas,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, tujuh anggota termasuk pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dikerahkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pukul 3.04 petang.

“Sehingga setakat ini mangsa masih belum dijumpai dan tiada sebarang petunjuk awal yang diperoleh. Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Kuantan sudah diarahkan ke Teluk Chempedak bagi misi mencari dan menyelamat tersebut,” katanya.

Sementara itu, kakak mangsa, Saidatul Aina, 23, berkata, adiknya sudah berlatih untuk menjadi juru nikah dan wali pernikahannya yang ditetapkan 26 Februari ini.

“Saya sangat sedih apabila dimaklumkan tentang kejadian ini dan saya cuma berharap biarlah jasad adik ditemukan segera,” katanya ketika ditemui di pantai itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya