SHAH ALAM: Tiga kakitangan Unit Forensik di Hospital Serdang menangis ketika merayu hukuman dikurangkan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana menerima rasuah bagi memperdagangkan jenazah lima tahun lalu.
Kesemua tertuduh, Mohd. Shah Rizan Yasak, 43; Mohd. Riduan Ibrahim, 41 dan Muhamad Yusri Yusof, 36, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan pilihan dibacakan secara berasingan ke atas mereka di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Masing-masing dikenakan hukuman penjara tiga hingga lima bulan dan denda RM5,000 hingga RM20,000 serta penjara tambahan antara tiga hingga enam bulan jika gagal membayar denda selepas hakim mendengar rayuan mereka yang tidak diwakili peguam.
Rozilah dalam penghakimannya berkata, tanggungjawab semua tertuduh yang bertugas sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan Gred U11 adalah pekerjaan mulia dan sepatutnya menolak apabila ditawarkan rasuah.
“Jangan bagi cadangan atau peluang dan sepatutnya menegur baru ada integriti sebagai penjawat awam. Dapat duit (gaji) sedikit, biar berkat. Ada fikiran yang Allah bagi menilai baik dan buruk. Apa yang kamu buat ini salah dan harap hukuman ini jadi kifarah kepada kamu,” tegasnya.
WANG TUNAI
Mengikut pertuduhan, tertuduh-tertuduh sebagai petugas di Unit Forensik Hospital Serdang menerima wang tunai masing-masing RM1,100, RM3,550 dan 6,250 menerusi pemindahan atas talian dalam akaun bank masing-masing daripada pemilik sebuah syarikat yang berusia 32 tahun bagi kerja-kerja pengurusan jenazah.
Perbuatan dilakukan antara 18 Mac 2018 hingga 7 Ogos di dua cawangan bank berlainan sekitar Bandar Baru Bangi, Kajang dan Banting.
Atas kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, pada prosiding sama, seorang lagi rakan mereka iaitu Hairul Nizam Idris, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan termasuk pilihan menerima wang tunai RM1,100 daripada individu sama.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Kajang pada 20 dan 23 April 2018.
Hairul didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah 24 (1) akta yang sama yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Selain itu, bapa tiga anak itu juga didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Hairul yang diwakili Peguam Siti Nurul Jannah Rizali dibenarkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta mematuhi syarat tambahan seperti menyerahkan pasport ke mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM.
Hakim menetapkan sebutan semula kes pada 17 Mac depan. Sepanjang prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd. Alif Shaharuzaman.- UTUSAN