KUANTAN: Dakwaan penyelewengan berbilion ringgit dalam pakej rangsangan Covid-19 yang didakwa menjadi faktor Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disifatkan berniat jahat.
Ketua Bersatu Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin berkata, dakwaan penyelewengan itu dibuat bertujuan memberikan persepsi buruk kepada Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan di enam negeri tahun ini.
“Dakwaan tersebut datangnya dari individu di pihak kerajaan yang mahu kerajaan yang ada dilihat bagus kerana hakikatnya sehingga kini masih tidak dapat menunjukan kejayaan membantu dan memulihkan keyakinan rakyat.
“Ini kerana sudah lebih dua bulan kerajaan yang ada masih lagi belum menyelesaikan isu-isu yang membelenggu rakyat terutama isu kos sara hidup yang makin membebankan, harga barangan keperluan harian yang tidak dapat dikawal dan meningkatnya harga makanan di kedai-kedai makanan.
“Ini ditambah pula dengan solusi dan formula Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang langsung tidak dapat membantu dan amat mengecewakan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Semalam, sumber dalaman Bersatu dilaporkan berkata, tindakan pembekuan akaun-akaun parti itu yang dilakukan SPRM dipercayai berkaitan dengan dakwaan penyelewengan berbilion ringgit dalam pakej rangsangan Covid-19.
Kata sumber itu lagi, semua akaun parti itu dibekukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Mengulas lanjut, Jasri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul berkata, Laporan Audit Parti Bersatu tahun 2020 sudah pun dikeluarkan kepada orang awam untuk melihatnya.
“Daripada pemerhatian saya melalui laporan tersebut, tiada unsur rasuah dan duit berbilion ringgit seperti yang dilaporkan. Semuanya jelas dilaporkan dan diterima baik oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
“Saya mengalukan-alukan SPRM menjalankan tugas mereka bagi menangani persepsi dakwaan tersebut. Saya percaya suruhanjaya terbabit adalah badan yang berintegriti dan menjalankan tugasnya secara profesional,” katanya.
Jelasnya lagi, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sudah pun menjelaskan berkenaan perkara ini dan diharap dapat membantu siasatan SPRM. – UTUSAN