Dadah hampir 6 kg dirampas, suami isteri antara yang dicekup - Utusan Malaysia

Dadah hampir 6 kg dirampas, suami isteri antara yang dicekup

ISMAIL DOLLAH menunjukkan dadah yang dirampas daripada tiga individu termasuk pasangan suami isteri di Yong Peng, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Satu sindiket pengedaran dadah yang aktif di daerah Batu Pahat dan Kluang tumpas dengan tertangkapnya tiga individu, termasuk pasangan suami isteri dalam dua serbuan berasingan di Yong Peng pada 13 dan 14 Februari lalu.

Hasil serbuan berkenaan, polis merampas 5.93 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM200,000 daripada mereka yang berusia antara 45 hingga 50 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, tangkapan pertama dilakukan terhadap pasangan suami isteri di sebuah kediaman di Taman Utama, Yong Peng pada pukul 7 malam.

Hasil serbuan di kediaman suami isteri itu menemukan dadah jenis methaphetamine seberat 311.45 gram dan pil eramin 5 dengan anggaran berat sebanyak 16.77 gram, dipercayai untuk edaran di sekitar Yong Peng dan Kluang.

“Susulan tangkapan berkenaan, polis menahan lagi seorang suspek lelaki tempatan berusia 50 tahun pada 14 Februari kira-kira pukul 6 petang di hadapan sebuah rumah kedai di Taman Kota, Yong Peng dan menemukan dadah jenis syabu dengan anggaran berat 1.8 kg yang disimpan dalam beg plastik berwarna kuning.

“Susulan itu, pemeriksaan dilakukan di rumah kedai yang dijadikan tempat penginapan lelaki itu sebelum menemukan dadah jenis syabu dengan berat anggaran 4.05 kg,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, hari ini.

Menurut Ismail, keseluruhan dadah yang dirampas dengan anggaran berqt 5.93 kg adalah bernilai RM212,045 yang boleh digunakan oleh 7,000 penagih.

Turut dirampas wang tunai sebanyak RM240,000 dan dua kereta serta sebuah motosikal.

Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman hingga 20 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik  Batu Pahat membuat serbuan terhadap sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Yong Peng dan menemukan 530 mililiter air ketum serta 216 gram daun ketum kira-kira pukul 6 petang, semalam.

“Hasil serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun ditahan dan turut ditemui pelbagai jenis mercun yang disimpan di dalam 29 kotak besar dan tujuh guni dengan nilai anggaran RM20,000.

“Suspek ditahan reman bermula hari ini hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya