GUA MUSANG: Budaya demokrasi dalam UMNO kekal subur apabila ahli dan pemimpinnya menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan parti kali ini.
Presidennya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebanyakan mereka yang pernah memenang jawatan dan tidak berminat untuk mempertahankannya selepas parti itu dan Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 lalu kembali berbuat demikian pada pemilihan kali ini.
Menurutnya, keputusan kembali bertanding memperlihatkan UMNO mempunyai masa depan sehingga mereka sanggup berbuat demikian semula.
“Oleh kerana UMNO dan BN kini sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, saya lihat kepimpinan parti diperkukuhkan potensi untuk menang lebih 30 kerusi kembali cerah.
“Hal ini kerana, kawasan ramai pengundi Melayu kita mempunyai potensi untuk menang semula jika UMNO diperkukuhkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan UMNO akan mengadakan pemilihan parti bermula pada 1 Februari hingga 18 Mac depan di semua peringkat bagi mematuhi pindaan perlembagaan yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS)
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pemilihan tersebut akan melibatkan sebanyak 22,000 cawangan serta 191 bahagian UMNO di seluruh negara termasuk bahagian yang digantung.
Stakat ini dua bahagian yang digantung, iaitu UMNO Bahagian Arau di Perlis pada awal tahun ini dan UMNO Bahagian Tanah Merah, Kelantan pada 2020.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, pihaknya optimis pihaknya akan menerima keputusan positif berkait masa depan parti itu dari RoS.
Katanya, hal ini kerana UMNO telah memberi respon kurang daripada 10 hari daripada tarikh aduan itu.
“Pada masa sama sesi perbincangan juga telah diadakan sekurang-kurangnya tiga kali dengan Ketua Pengarah RoS dan penasihat undang-undang badan itu,” katanya.-UTUSAN