Buat aduan jika berlaku proses indoktrinasi bahaya di prasekolah - Utusan Malaysia

Buat aduan jika berlaku proses indoktrinasi bahaya di prasekolah

FADHLINA Sidek bersama kanak-kanak ketika hadir merasmikan Festival Bakat Prasekolah Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2023 di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ibu bapa yang berasakan berlakunya proses indoktrinasi yang membahayakan anak-anak mereka termasuk di peringkat prasekolah diminta untuk membuat aduan kepada pihak Kementerian Pendidikan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan kanak-kanak dan berpandangan proses indoktrinasi termasuk yang mempunyai unsur politik di peringkat prasekolah merupakan sesuatu yang tidak wajar.

“Kalau ada isu-isu yang berlaku, aduan dibuat ke Kementerian Pendidikan dan kami boleh respon. Kami tidak kompromi isu keselamatan anak-anak, sebab itu kami bersikap tegas, kalau ada ibu bapa yang berasakan ada berlaku indoktrinasi yang dirasakan membahayakan keselamatan negara dan sebagainya, saya mohon dibuat aduan terus ke peringkat Kementerian Pendidikan.

“Komitmen kami di peringkat Kementerian Pendidikan untuk memastikan isu-isu yang berkait rapat dengan nilai dan potensi dan adalah lebih penting keselamatan kanak-kanak, kalau boleh kekang dan lindung dari awal. Isu-isu integrasi, perpaduan lebih baik dimulakan dari awal di peringkat prasekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Bakat Prasekolah Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2023 di sini hari ini. Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu, beliau sekali lagi menjelaskan bahawa takwim persekolahan akan dikembalikan semula ke bulan Januari namun tidak akan dilaksanakan pada waktu terdekat.

Kata beliau, perkara berkenaan perlu mengambil kira justifikasi yang perlu diselesaikan mengikut Akta Pendidikan 1996 selain isu ekonomi dan beban kerja guru.

“Kita akan kembali (kembali ke Januari) tetapi bukan sekarang kerana kita akan ambil kita beberapa justifikasi pastinya kerana melibatkan isu kitaran kanak-kanak yang perlu habis, berkait rapat dengan bilangan hari persekolahan di bawah Akta Pendidikan yang tidak boleh kurang daripada 190 hari.

“Termasuk juga isu-isu lain seperti isu ekonomi, isu beban kerja guru dan isu sampingan lain yang akan kami berikan perhatian sehinggalah kita boleh kembali ke Januari, insya-Allah, jangan risau,” katanya lagi.

Sementara itu, Fadhlina berkata, pihaknya kini sedang sedang menunggu jawapan keseluruhan hasil siasatan dari pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) berhubung video tular di Facebook berkaitan dakwaan guru meminta murid menukar agama.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya