JOHOR BAHRU: Semua golongan boleh menggunakan jenama Menu Rahmah, asalkan memberi kebaikan dan manfaat kepada rakyat yang memerlukan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kerajaan amat menggalakkan dan mengalu-alukan pelbagai pihak untuk menyediakan pelbagai jenis makanan pada harga serendah RM5 selagi menjaga kualiti, cita rasa dan kuantiti makanan yang dijual kepada umum, khususnya golongan yang memerlukan.
“Saya tidak melihat ini sebagai eksploitasi dengan menggunakan jenama ‘Rahmah’ asalkan mereka menyediakan makanan dan minuman yang menyelerakan dengan harga serendah RM5. Saya ada nampak peniaga menyediakan menu Durian Rahmah dengan membungkus beberapa ulas durian dan dijual pada harga RM5.
“Ia nanti bukan sekadar menu, mungkin ada pula jual buah-buahan Rahmah, sayur Rahmah dan bila bulan puasa nanti ada pula bazar dan kuih Rahmah. Idea sendiri rakyat ini membuktikan mereka peka menyantuni rakyat yang memerlukan,” katanya selepas melancarkan Menu Rahmah di Samballana Bistro, Bandar Dato’ Onn, di sini hari ini.
Pada Selasa lalu, Salahuddin melancarkan inisiatif Menu Rahmah membabitkan 15,000 premis menjual makanan.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama rangkaian restoran makanan segera pada minggu depan bagi kesediaan mereka menyediakan Menu Rahmah.
“Restoran makanan segera seperti KFC dan McDonald’s antara yang berminat menyediakan Menu Rahmah. Mereka mempunyai idea dan proaktif dalam menyediakan menu serendah RM5. Kementerian juga akan mengadakan sesi libat urus persatuan makanan kedai-kedai kaum Cina yang turut berminat menyediakan Menu Rahmah,” katanya.