Bekas wartawan berbasikal dari Sumatera Barat ke Mekah - Utusan Malaysia

Bekas wartawan berbasikal dari Sumatera Barat ke Mekah

MUHAMAD Yusuf ketika ditemui pemberita di Senawang, Seremban hari ini dalam misi kayuhan basikalnya ke Mekah, Arab Saudi bagi menunaikan haji.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Selepas memulakan kayuhan basikalnya pada 29 Disember tahun lalu dari kampung halamannya di Sungai Kamuyang, Sumatera Barat, Indonesia dalam misi ke tanah suci Mekah bagi menunaikan haji, seorang bekas wartawan, Muhamad Yusuf, 59, tiba di daerah ini pagi tadi.

Dia yang tiba di negara di Stulang Laut, Johor dari Batam, Indonesia pada 28 Januari lalu memberitahu, sudah memasang niat untuk hanya berbasikal ke Mekah sejak bulan Ramadan tahun lalu.

“Boleh sahaja menaiki pesawat untuk menunaikan haji, tetapi saya perlu menunggu giliran saya tiba iaitu kira-kira 15 tahun lagi, daripada perlu menunggu waktu itu, saya mengambil keputusan untuk mengayuh basikal sahaja.

“Memang niat saya hanya untuk menunaikan ibadah haji, insya-Allah pada bulan Jun depan saya akan sampai di Mekah selepas melalui negara seperti Malaysia, Thailand, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan, Afghanistan, Iran dan akhirnya terus ke memasuki Arab Saudi,” katanya.

Muhamad Yusuf berkata demikian kepada pemberita selepas ketibaannya disambut oleh Presiden Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Minang Payakumbuh/50 Kota Malaysia (Paliko Malaysia), Syahrial Tarmizi dan ahli-ahli pertubuhan itu di sebuah restoran di Senawang, di sini hari ini.

MUHAMAD Yusuf (baris belakang, empat dari kiri bergambar bersama ahli-ahli Paliko Malaysia ketika dia tiba di Senawang , Seremban hari ini dalam misi kayuhan basikalnya ke Mekah, Arab Saudi bagi menunaikan haji.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.

Ditanya tahap kemampuannya untuk berkayuh basikal dalam jarak yang jauh terutama dalam usia lanjutnya itu, dia memberitahu telah bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk tujuan itu.

Dia malah memberitahu, pengalaman selama tujuh tahun berbasikal mengelilingi Indonesia sebelum ini diharap dapat banyak membantunya.

“Saya tidak pernah ke luar negara sebelum ini, ini adalah kali pertama dan Alhamdulillah setakat ini semua berjalan lancar. Banyak pihak yang membantu dan bagi tujuan keselamatan saya akan memaklumkan di balai polis mengenai kehadiran saya di sesuatu kawasan itu.

“Memang sudah ada orang Indonesia yang berbasikal ke Mekah sebelum ini tetapi bagi masyarakat Minangkabau, saya mungkin yang pertama melakukannya,” katanya yang memberitahu pernah berbasikal mengelilingi Sumatera Barat ketika dibangku sekolah.

Bekas wartawan akhbar Riau Pos dan Harian Singgalang itu turut memberitahu akan menulis buku mengenai perjalanan selama tujuh bulannya itu sebaik kembali ke negaranya kelak.

“Saya teruja untuk meneruskan kayuhan ini dan saya berharap hasrat saya ke Mekah ini akan dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya lagi.

Sementara itu, Syahrial berkata, pihaknya berbangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan Muhamad Yusuf dan turut memberikan sumbangan bagi membantu melancarkan perjalanan lelaki itu.

“Bagi pihak kami sudah tentu berbangga apabila ada masyarakat Minangkabau yang mempunyai semangat yang kuat sebegini dan kami akan membantunya sebaik mungkin sepanjang kayuhan basikalnya di negara ini,” ujarnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya