JOHOR BAHRU: Seorang bekas kerani Pejabat Jurutulis Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan dokumen kerajaan palsu antara Januari 2017 hingga Januari 2019.
Walau bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Farhan Salleh, 37, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Farhan didakwa menggunakan tiga set dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) palsu atas nama tiga syarikat berlainan di Pejabat Jurutulis DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri.
Dia didakwa membuat kesalahan itu pada tiga waktu berasingan, iaitu pertama pada Januari 2017, kedua pada Februari 2018 dan terakhir pada Januari 2019.
Dia didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, peguam bela tertuduh, Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly memohon mahkamah memberi jaminan rendah kepada tertuduh yang kini bekerja sebagai peniaga setelah berhenti sebagai kakitangan kerajaan pada 2020.
“Tertuduh kini bekerja sendiri dengan pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,500 sebulan, manakala isterinya tidak bekerja. Tertuduh turut menanggung dua anak yang masih bersekolah berusia 11 dan lapan tahun,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 16 Mac ini.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, Chan Choon Yew. – UTUSAN