GUA MUSANG: Seorang bayi Orang Asli berusia enam bulan yang mengalami sesak nafas dari Pos Pasik di sini, dibawa ke Hospital Gua Musang menggunakan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), semalam.
Selain sesak nafas, Aleh Ruzi yang berusia enam bulan itu turut mengalami cirit-birit sejak dua hari lalu.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM, Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd. Hasrizal Kamaruzzaman berkata, pihaknya berlepas dari pangkalan udara pada pukul 10.45 pagi.
Menurutnya, penerbangan itu selamat mendarat di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang 55 minit kemudian untuk mengambil seorang doktor dan jururawat.
“Setibanya di Pos Pasik bantuan awal terpaksa diberikan kepada bayi berkenaan kerana keadaannya yang bernafas laju dan memerlukan alat bantuan pernafasan segera.
“Pesawat berlepas dari Pos Pasik pada pukul 12.10 tengah hari dan selamat mendarat di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang 10 minit kemudian. Pesakit dibawa ke Hospital Gua Musang dengan menggunakan ambulans untuk menerima rawatan susulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, operasi berkenaan tamat pada pukul 12.25 tengah hari dan anggota berlepas pulang ke Pangkalan Udara Wilayah Tengah.-UTUSAN