Baru enam hari kahwin, suami maut motosikal langgar lubang - Utusan Malaysia

Baru enam hari kahwin, suami maut motosikal langgar lubang

KEADAAN jalan berlubang yang mengorbankan Hairul Hafizi Mursid dalam kemalangan di Jalan Temerloh-Jerantut berhampiran Kampung Lubuk Kawah di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Baharu enam hari bergelar isteri dan menikmati detik manis sebagai pengantin, namun, Azimah Zahari, 31, reda dengan ketentuan Ilahi apabila suami pergi buat selamanya.

Suaminya, Hairul Hafizi Mursid, 34, meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya dipercayai melanggar lubang dan terjatuh di Jalan Temerloh-Jerantut berhampiran Kampung Lubuk Kawah di sini sekitar pukul 10 malam, Jumaat lalu.

Menurut Azimah, kejadian itu berlaku semasa mereka dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di sebuah pasaraya di daerah ini ke rumah mereka di Felda Jengka 17, Maran.

“Selalunya kami pergi dan balik kerja bersama, sama ada menaiki motosikal ataupun kereta. Tapi, pada Jumaat lalu, kami naik berasingan. Suami naik motosikal sebab katanya hendak servis motosikal.

“Dalam perjalanan balik malam itu, saya ikut rapat belakang suami dengan kereta. Cuma bila tiba dekat dengan lokasi kejadian, saya agak ke belakang sedikit sebab keadaan jalan berselekoh dan berbukit.

“Saya melepasi tempat suami terjatuh, tapi saya pusing semula sebab saya kenal dengan warna motosikal tu. Dan memang tak sangka, suami saya yang terjatuh terlanggar lubang. Itu yang orang awam bagitahu pada saya,” katanya di sini semalam.

Tambah Azimah, dia memanggil suaminya, namun tiada sahutan kerana Hairul Hafizi dalam keadaan separuh sedar dan sedang mengerang kesakitan.

Katanya, orang awam yang berada di lokasi membantu menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan menghantarnya ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh di sini.

“Bila tiba di Hoshas, saya terus mendaftarkan nama suami tetapi selepas lima atau 10 minit selepas itu, doktor panggil saya dan maklum, suami saya sudah meninggal dunia.

“Lepas doktor cakap macam itu, saya betul-betul terkejut, tergamam… Macam tak percaya benda ini boleh berlaku. Ada juga saya rasa ralat sangat. Kalau saya tahu akan berlaku macam ni, saya takkan benarkan suami naik motosikal.

“Walaupun dia sudah tiada, tetapi saya akan tetap anggap dia masih ada di sisi saya. Banyak kenangan bersama suami sejak awal perkenalan,” ujarnya.

Beliau berharap pihak bertanggungjawab segera menyelenggara jalan di kawasan suaminya kemalangan kerana keadaan di situ selalu ada takungan air, licin serta berlubang.

“Jalan itu selalu ada air, dan saya perasan memang ada lubang. Harap dibaiki segera, jangan jadi pada orang lain pula. Sebelum ni, ada juga dengar orang patah tangan, kaki…. Cuma nyawa tak melayang lagi,” katanya.

Jenazah Hairul Hafizi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bunian, Chenor di Maran dekat sini sekitar pukul 4 petang semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya