JOHOR BAHRU: Banjir termenung menyebabkan seramai 22 mangsa daripada tujuh keluarga di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat tidak dapat kembali ke rumah masing-masing kerana kediaman mereka masih digenangi air.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, satu-satunya pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi ketika ini di Balai Raya Kampung Seberang Batu Badak di Segamat hingga tengah hari ini.
Menurutnya, jumlah itu kekal sejak pagi semalam apabila mangsa masih tidak dibenarkan pulang kerana kawasan kediaman mereka masih ditakungi air akibat banjir termenung
Sebatang jalan masih ditutup untuk semua kenderaan, iaitu Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai disebabkan kejadian tanah runtuh.
“Selain itu, Sungai Bekok di Batu Pahat masih merekodkan bacaan air paras bahaya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Dalam pada itu, tiada daerah di negeri ini yang menunjukkan sebarang amaran hujan berterusan, katanya. – UTUSAN