KUANTAN: Pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Maran, dekat sini iaitu Balai Raya Kampung Baru Pertanian ditutup sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, PPS itu sebelum ini menempatkan tujuh mangsa daripada dua keluarga.
“Penutupan PPS di Maran menandakan berakhirnya bencana banjir yang melanda lima daerah termasuk Kuantan, Pekan, Raub dan Jerantut sejak Isnin lalu.
“Semua mangsa dibenarkan pulang selepas air di kawasan tersebut surut dan selamat untuk kembali ke kediaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Che Adam, bagaimanapun anggota APM serta bomba dan penyelamat di setiap daerah terus memantau keadaan air di setiap batang sungai di 11 buah daerah negeri ini memandangkan keadaan cuaca masih tidak menentu.
Penutupan PPS terakhir itu menjadikan keseluruhan 31 PPS di negeri ini ditutup ekoran banjir sejak awal Januari lalu. – UTUSAN